Isnin, 11 Julai 2016 | 12:09am
HAMID memilih kaedah fertigasi secara terbuka kerana ia mudah dan senang dikawal.
BERMULA dengan modal RM40,000, Hamid meneruskan tanaman rock melon jenis Sukata F1 Glamour dari Jepun, manakala tanah dan baja untuk semaian diperoleh dari Jerman.

Hamid bangkit kembali bersama Rock Melon

BENAR kata pepatah, langit itu tak selalunya cerah. Hasil pertanian yang dahulunya memberi keuntungan berlipat kali ganda tiba-tiba jatuh merudum, menyebabkan kebun yang diusahakan dengan modal lebih RM100,000 di Pulau Indah, Klang terpaksa ditutup.

Bergelar usahawan tani bukan mudah seperti disangka. Selain bergolok gadai, kerugian akibat faktor luaran seperti cuaca dan serangan penyakit, lambakan hasil tanaman antara cabaran perlu ditempuhi sebelum mampu mengukir senyuman, di sebalik pendapatan lumayan yang dijana hasil daripada berbudi kepada tanah.

Walaupun beberapa kali `tersungkur', Hamid Yahya, 45, tidak pernah terdetik untuk berhenti memburu impian bergelar usahawan tani, malah terus memburu azam untuk keluar daripada kepompong petani konvensional iaitu tanam, tunggu, tuai dan tinggal dengan mengusahakan tanaman rock melon (tembikai wangi) secara fertigasi terbuka.


PENGARAH Delima Tani Enterprise, Hami Yahya bersama hasil taninya.

Beliau yang juga Pengarah Delima Tani Enterprise berkata, pengalaman beberapa kali gagal dalam tanaman yang diusahakan membuatkan anak jati Klang ini lebih berhati-hati dalam memilih jenis tanaman yang ingin diusahakan.

"Ketika mula-mula saya ceburi bidang pertanian, saya memilih cili kulai dengan keluasan 0.1 hektar iaitu sebanyak 1,000 pokok dengan kos permulaan sebanyak RM20,000.

"Tahun berikutnya tanaman cili cukup memberangsangkan kerana pada waktu itu harganya agak tinggi di pasaran iaitu sekitar RM8 hingga RM18 sekilogram. Melihat kepada potensi besarnya, saya tambah keluasan kebun kepada 1.6 hektar tanah pada tahun 2008 dengan tambahan modal RM100,000.

"Bagaimanapun, akibat lambakan cili dari luar negara dan harganya merudum teruk, tambahan pula berlaku air pasang besar menyebabkan saya terpaksa tutup operasi kebun dan pulang ke kampung halaman," katanya ketika ditemui di kebun beliau di Kampung Perepat, Kapar, Klang, baru-baru ini.


USAHA Hamid menanam rock melon bermula di Kampung Perepat, Klang mulai tahun 2010.

Tenang berkongsi kisah lampau, Hamid akhirnya bangun kembali dan terus gigih mengumpul kekuatan serta menimba seberapa banyak ilmu pertanian dengan menghadiri kursus yang dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian.

"Pada saat itu, saya terduduk. Rasa lemah dan hampir berputus asa, memikirkan tidak balik modal, hutang dan komitmen lain yang perlu dibayar. Kegagalan itu juga membuatkan saya kenal siapa kawan, siapa lawan. Apa-apa pun, isteri dan keluarga yang sentiasa berada di sisi menjadi pendorong saya untuk bangkit kembali," katanya.

Pada tahun 2010, bermulalah sejarah rock melon di Kampung Perepat apabila Hamid bertekad untuk terus berbakti kepada tanah di kampung halaman dengan mengusahakan tanaman berkenaan.

Bermula dengan modal RM40,000, beliau meneruskan tanaman rock melon jenis Sukata F1 Glamour dari Jepun, manakala tanah dan baja untuk semaian diperoleh dari Jerman.

Selepas hampir enam tahun, Hamid kini mampu menarik nafas lega apabila tanaman rock melon yang diusahakan dengan bantuan FAMA di tanah seluas 3.2 hektar berjaya menjana pendapatan sehingga lima angka sebulan.


HAMID Yahya mengusahakan tanaman rock melon (tembikai wangi) secara fertigasi terbuka.

"Saya lakukan kaedah fertigasi secara terbuka kerana ia mudah dan senang dikawal. Kita hanya perlu memastikan benih yang baik, tanah semaian bermutu, sistem pengairan sempurna dan semburan racun serangga yang sesuai mengikut keperluan," katanya.

Bagaimanapun, Hamid mengakui, ketika mula berjinak-jinak mengusahakan tanaman rock melon, selama beberapa bulan beliau berdepan kegagalan kerana tanaman pertama dan kedua gagal menghasilkan buah berkualiti yang ditetapkan FAMA.

"Selama tiga bulan, saya hanya tanggung rugi. Tanaman serba tak menjadi. Tanaman pertama dan kedua banyak hasilkan buah Gred C dan B.

"Memang benar orang kata tak kenal maka tak cinta... saya tidak mudah menyerah kalah. Bagi mendapatkan lebih banyak ilmu mengenai tanaman rock melon, saya sentiasa hadir kursus dengan FAMA dan akhirnya tanaman kali ketiga barulah dapat hasilkan 80 peratus buah Gred A," katanya.

Beliau berkata, buah yang sudah matang selepas ditanam 70 hari boleh dituai apabila tahap kemanisannya melebihi 12 brix. Ketika ini, berat buah melebihi dua kilogram (kg) untuk dikelaskan sebagai Gred A manakala kurang dari 1.5 kg dimasukkan dalam kategori Gred B.

Ketika ini, kebunnya mampu menghasilkan antara 60 hingga 100 tan setahun bergantung kepada keadaan cuaca dan pekerja bagi menampung permintaan domestik.

Hasil pengeluarannya akan diambil FAMA dan pemborong tempatan pada harga RM3.70 sekilogram, manakala harga runcit pasaran tempatan kini mampu mencecah RM8 sekilogram.

Tidak mahu ilmu yang ada dipendam begitu sahaja, Hamid turut menyediakan kursus pertanian kepada mana-mana individu yang berminat. Selain mengajar, Hamid juga sentiasa dikunjungi pelajar universiti tempatan yang mahu mengikuti teknik tanaman rock melon sebagai praktikal pembelajaran.

Bercerita lanjut mengenai operasi syarikatnya, Hamid berkata, bagi melancarkan lagi pengeluaran rock melon, beliau dibantu isteri, Azwani Abdullah Zawawi, 43, yang bertindak sebagai Pengurus Operasi dan disokong oleh 10 pekerja.

Menutup bicara, beliau menetapkan sasaran untuk memasuki pasaran Dubai selewat-lewatnya awal tahun depan berikutan terdapat permintaan tinggi dari negara terbabit.

"Kita jangkakan rock melon mampu tembusi pasaran Asia Barat dan Dubai khususnya. Baru-baru ini ada syarikat dari Dubai berminat untuk lihat hasil tanaman kita.

"Saya mahu produk rock melon tempatan ke pasaran global. Biar orang di luar sana tahu, kita juga mampu hasilkan rock melon berkualiti tinggi setanding dengan pengeluar utama seperti China dan Jepun," katanya.

INFO:

Nama: Hamid Yahya

Lulusan: Penilaian Menengah Rendah (PMR)

Keluarga: Anak kelapan dari 11 beradik

Perniagaan: Tanaman rock melon, khidmat nasihat dan latihan bakal usahawan

Lokasi: Batu 8 1/2, Kampung Perepat, Kapar, Klang, Selangor

Pengiktirafan: Sijil Amalan Pertanian Baik oleh Jabatan Pertanian, Sijil myGap oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Usahawan Jaya peringkat daerah dan negeri 2015 oleh Agro Bank.

161 dibaca
Berita Harian X