Isnin, 4 Julai 2016 | 4:10pm

Zulin melaram dengan baju raya RM40


ZULIN beraya di kampung halaman di Pantai Remis, Perak. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Jika ditanya Zulin Aziz mengenai persiapan menyambut 1 Syawal, sejak dulu lagi, pelawak popular ini suka bersederhana.

Bakal beraya di kampung halaman di Pantai Remis, Perak, Zulin berkata, dia tidak suka berbelanja berlebih-lebihan terutama dalam membeli pakaian baharu.

"Selalunya, saya tak beriya-iya sangat beli baju raya. Kalau beli banyak pun sebab pakaian itu perlu digayakan pada acara hiburan dan program Aidilfitri.

"Selalunya, saya hanya membeli antara empat hingga lima pasang baju baharu. Jika di kampung, baju raya berharga RM40 sekalipun saya pakai.

"Saya lebih utamakan baju yang ringkas dan sesuai dipakai dalam suasana kampung," katanya kepada BH Online.

Zulin berkata, dia hanya membeli pakaian 'lip lap' atau busana pentas untuk tuntutan kerja.

"Baju 'lip lap' saya tak akan pakai di kampung. Sebaliknya, saya lebih utamakan baju untuk ibu dan adik-beradik lain. Apa yang mereka mahu, saya cuba penuhi demi menyambut 1 Syawal," katanya yang akan tampil dalam program Nasi Lemak Kopi O pada Syawal ketiga.

Dalam perkembangan terbaharu, Zulin sedang membuat persiapan melancarkan single yang dirakam tahun lalu berjudul Terbiar, selepas Aidilfitri.

"Sebenarnya, dunia nyanyian bukan perkara asing bagi saya. Kalau tengok di laman Instagram dan akaun YouTube, saya ada muat naik rakaman nyanyian.

"Single saya ini adalah mengenai wanita yang mengalah kerana lelaki yang disayanginya ada gadis lain. Tapi lirik lagu ini tidak ada kena mengena dengan saya," katanya teruja dengan lagu berentak bossanova ciptaan komposer Singapura, Ayad Sakti itu.

Zulin berkata, dia bersetuju merakamkan single itu selepas ditawarkan Ayad.

"Saya buat semua ini untuk mencabar diri dan ambil peluang yang ada di depan mata. Kenapa tidak saya mencuba nasib. Saya anggap ia satu penghormatan kerana ditawarkan menyanyi," katanya.

Baru-baru ini, Zulin sempat merakamkan kulit singlenya itu hasil sentuhan Hazmiljpilus dan solekan Tiar Zainal.

628 dibaca
Berita Harian X