Khamis, 30 Jun 2016 | 8:40pm

Peter Bellew dilantik Pengarah Urusan, CEO baharu Malaysia Airlines


Peter Bellew dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd, yang baharu berkuat kuasa 1 Julai 2016.

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) melantik Peter Bellew sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd, berkuat kuasa 1 Julai 2016.

Pelantikan Bellew adalah bagi menggantikan Christoph Mueller yang meletak jawatan pada 10 Mac lalu.

Pelantikan Bellew, yang kini Ketua Pegawai Operasi (COO) Malaysia Airlines dan memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pelan pemulihan syarikat penerbangan nasional itu, diumumkan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), pemegang saham tunggal MAG menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Khazanah, pelantikan Bellew dibincang dan diputuskan pada mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak pada 21 Jun lalu.

Pelantikan beliau akan memastikan kesinambungan dan kemajuan pelaksanaan 12 perkara penting bawah Pelan Pemulihan MAS (MRP) yang berjangka masa lima tahun yang dilancarkan Khazanah pada 29 Ogos 2014.

"Pelantikan Bellew dibuat selepas muktamadnya proses penggantian kepimpinan yang dilaksanakan oleh Khazanah di MAB, dengan kerjasama Lembaga MAB dan kerajaan.

"Sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO, tugas utama Bellew adalah meneruskan pelaksanaan pelan pemulihan Malaysia Airlines serta mempersiapkan barisan kepimpinan pengganti dalam kalangan warga tempatan.

Bellew, yang kini adalah Ketua Pegawai Operasi (COO), memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pelan pemulihan Malaysia Airlines.

Menurut Khazanah, sejak dilancarkan 22 bulan lalu, pelaksanaan MRP kini melepasi kira-kira satu pertiga daripada tempoh lima tahun yang ditetapkan, mengikut jadual serta berada pada landasan yang betul dan berjaya mencatatkan beberapa tanda kemajuan awal setakat ini.

"Dalam hal ini, Khazanah bekerjasama rapat dengan Lembaga, pengurusan kanan, serta pekerja MAB, sementara kerajaan pula akan terus menyokong dan memacu penyusunan semula Malaysia Airlines bagi mengembalikannya ke landasan keuntungan yang mampan," katanya.

Sementara itu, MAB dalam kenyataan berasingan berkata, Mueller yang sedang menjalani tempoh notis akan bercuti dan meletak jawatan daripada Lembaga MAB mulai esok, sambil Bellew juga memulakan tugas baharunya hari ini.

"Mueller akan kekal tersedia kepada syarikat hingga akhir tempoh notisnya bagi membantu memastikan peralihan kepimpinan yang lancar," katanya.

INFO Peter Bellew

  • Warga Ireland, 20 tahun pengalaman dalam industri penerbangan.
  • Menyertai Malaysia Airlines pada 1 September 2015.
  • Menyertai Malaysia Airlines dari Ryanair Ltd.
473 dibaca
Berita Harian X