Selasa, 11 November 2014 | 1:50pm

SPR perlu ambil kira faktor cabaran kawasan luar bandar

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil kira cabaran dan kesukaran yang dihadapi kawasan luar bandar dalam kajian persempadanan semula bahagian pilihan raya, khususnya di Sarawak, demikian menurut beberapa wakil rakyat Bumi Kenyalang.

Mereka berpendapat keadaan di Sarawak unik berikutan bentuk muka bumi yang bergunung-ganang, berlembah dan sungai luas bersimpang siur, demografi serta kawasan penempatan berselerak jauh di pedalaman menjadikannya sangat berbeza berbanding keadaan di Semenanjung, khususnya daripada segi sistem perhubungan pengangkutan mahupun komunikasi.

Keluasan Sarawak dengan 124,449.51 kilometer persegi hampir menyamai keluasan Semenanjung, menjadikan negeri itu yang terbesar daripada segi pembahagian kawasan pilihan raya iaitu 31 kerusi Parlimen dan 71 Dewan Undangan Negeri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Sarawak mempunyai sejumlah 1,083,972 pemilih berdaftar.

Pada awal bulan ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memaklumkan bahawa SPR dijangka mewartakan notis Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akhir tahun ini.

Persempadanan semula yang sepatutnya diadakan pada 2011, ditangguhkan bagi memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang diadakan pada 5 Mei 2013.

Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr Stephen Rundi, berkata terpulang kepada SPR untuk menentukan bagaimana kajian persempadanan semula itu wajar dilakukan memandangkan perkara itu tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

Namun, Stephen menegaskan meskipun kawasan luar bandar mendapat jumlah pengundi yang kurang berbanding kawasan bandar, SPR tidak seharusnya mengambil kira faktor jumlah itu semata-mata.

"Di Sarawak, kedudukan kampung dan rumah panjang berselerak (tidak tersusun) dan terletak jauh antara satu sama lain.

Selain itu, masalah kekurangan infrastruktur turut memerlukan perhatian khusus wakil rakyat.

"Justeru, pembahagian kawasan Dewan Undangan Negeri yang baharu ini diharap sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan masalah ini," katanya kepada Bernama.

Stephen yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sarawak, berkata persempadanan semula sememangnya wajar dilakukan terutama apabila melihat kepada keperluan perkhidmatan yang lebih mendesak dan meningkat serta mencabar pada ketika ini.

Katanya semua pihak termasuk BN dan parti pakatan perlu melihat urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya untuk kepentingan rakyat dan tidak membuang masa memperdebatkannya hanya kerana kepentingan politik.

"PBB menyokong persempadanan semula kawasan pilihan raya untuk tujuan menambah baik perkhidmatan wakil rakyat kepada rakyat negeri ini yang amat memerlukannya.

"BN Sarawak belum mengadakan mesyuarat tentang perkara berkenaan termasuk isu nisbah pengundi dan sebagainya. Namun begitu, kami yakin SPR akan mengkaji segala aspek berkaitan sebelum mengambil keputusan dalam persempadanan semulaini mengikut keadaan di Sarawak yang agak berlainan dari Semenanjung," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Doris Sophia Brodie, berkata persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak perlu melihat kepada nisbah populasi penduduk di negeri itu.

Katanya, dalam kajian berkenaan SPR wajar mempertimbangkan beberapa tempat atau kerusi untuk suku kaum Dayak selaras dengan jumlah komuniti itu di Sarawak.

"PRS ingin melihat sekurang-kurangnya empat kerusi Dewan Undangan Negeri baharu majoriti kaum Dayak dibentuk hasil daripada proses persempadanan semula bahagian pilihan raya yang dilakukan SPR, sejajar dengan nisbah populasi kaum di negeri ini.

"Pada masa ini terdapat 29 daripada 71 kerusi adalah kawasan majoriti kaumDayak. Etnik Dayak ini meliputi 44 peratus daripada jumlah penduduk Sarawak dan oleh yang demikian, pertambahan jumlah kerusi DUN adalah seiring dengan nisbahpopulasi," katanya.

- BERNAMA

241 dibaca
Berita Harian X