Selasa, 11 November 2014 | 11:12am
Pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Soi di Kuantan, mengulangkaji pelajaran menggunakan komputer sambil dibantu guru. - Gambar hiasan

9,889 sekolah terima capaian internet

Kuala Lumpur: Sebanyak 8,886 sekolah di seluruh negara disediakan capaian internet menerusi program 1BestariNet sehingga tamat tempoh kontrak pada 12 Jun lalu.

Pada masa sama, sebanyak 1,003 sekolah pula menerima kemudahan internet interim iaitu yang dibekalkan syarikat penyedia lain, apabila sekolah berkenaan tidak dapat disambungkan dengan 1BestariNet kerana pembinaan menara telekomunikasi di beberapa negeri khususnya di Sarawak, Pulau Pinang dan Kelantan tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan semalam berkata, ia dilakukan bagi membolehkan murid di sekolah terbabit terus melaksanakan aktiviti pembelajaran secara dalam talian.

"Di atas kelewatan itu, pihak kerajaan mengenakan denda kepada syarikat YTL Communications Sdn Bhd sebanyak RM2.4 juta pada 27 Oktober 2014," katanya.

Sekolah yang dirangkaikan melalui perkhidmatan 1BestariNet dengan kelajuan 4 megabait sesaat (Mbps) dibekalkan dengan 3 Zoom bagi membolehkan guru dan murid mengakses internet di makmal komputer, bilik guru dan pejabat sekolah di mana berlakunya sebahagian besar aktiviti pembelajaran dan pengurusan sekolah.

Dengan kewujudan persekitaran WiFi di sekolah, kemudahan itu juga memberi ruang dan peluang kepada peranti mudah alih yang sedia ada lain menggunakan capaian internet melalui rangkaian 1BestariNet

"Ini secara tidak langsung meningkatkan jumlah pengguna serta mengakibatkan kesesakan kepada capaian internet berkapasiti 4Mbps yang disediakan ketika ini.

"Justeru, pengurusan penggunaan capaian lebar jalur 4Mbps secara cekap amat penting dilaksanakan pada peringkat sekolah oleh pengetua dan guru besar, bagi memastikan manfaat terbaik dapat diperoleh daripada kemudahan yang disediakan," katanya.

Sebagai langkah penambahbaikan, KPM mengarahkan sekolah menyediakan jadual penggunaan talian bagi mengurangkan masalah berkenaan dan ini ternyata berkesan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang dirangkaikan dengan teknologi Very Small Aperture Terminal (VSAT) tetapi masih berupaya untuk melaksanakan program Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) dengan jayanya.

Sekolah disediakan dongles

Selain itu, pihak syarikat membekalkan 'dongles' kepada setiap sekolah. Dongles ini membolehkan guru mencapai bahan pembelajaran murid dalam kawasan sekolah yang tidak berada dalam liputan WiFi Zoom.

Pelaksanaan 1BestariNet mengambil kira dapatan kajian impak yang dilaksanakan oleh pakar perunding berkecuali yang diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi.

Reka bentuk rangkaian, spesifikasi perkhidmatan serta skop kerja sudah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Spesifikasi Teknikal Perkhidmatan 1BestariNet di KPM.

Berasaskan perakuan jawatankuasa itu, KPM melancarkan tender terbuka untuk perolehan perkhidmatan 1BestariNet bagi tempoh 15 tahun pada 15 Mei 2011 di mana 16 syarikat telekomunikasi menyertai tender itu.

Selepas penilaian teknikal dan kewangan dilaksanakan oleh Lembaga Perolehan KPM, syarikat YTL Communications Sdn Bhd ditawarkan kontrak berkenaan pada 29 November 2011 selama dua tahun enam bulan, mulai 13 Disember 2011 hingga 12 Jun 2014 berdasarkan kedudukan penilaian spesifikasi teknikal yang terbaik dan harga yang munasabah serta konsisten dengan keputusan Kementerian Kewangan untuk membahagikan tempoh pelaksanaan mengikut fasa.

Perkhidmatan 1BestariNet adalah komponen utama dalam Anjakan 7, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.

Program ini menyediakan Pelantar Pembelajaran persekitaran maya untuk mengupayakan pembelajaran akses kendiri.

Kerajaan melalui makmal Bidang Utama Ekonomi Negara- Content Connectivity and Infrastructure (NKEA-CCI) yang membabitkan syarikat telekomunikasi tempatan dan agensi kerajaan yang berkepentingan, sudah mengenal pasti KPM sebagai pemangkin bagi pelaksanaan SchoolNet 2.0 yang dijenamakan semula sebagai 1BestariNet.

Untuk memastikan kualiti rangkaian yang dibekalkan menepati piawaian ditetapkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), KPM sudah melaksanakan pengauditan ke atas rangkaian 1BestariNet secara rawak pada Disember 2013.

Dalam tempoh pengauditan itu, kementerian mengukur kelajuan lebar jalur (bandwidth), kependaman (latency), penurunan paket (packet drop) dan naik opelet (jitter).

Semua pengauditan yang dijalankan sepanjang tempoh kontrak mendapati rangkaian 1BestariNet memenuhi Aras Jaminan Perkhidmatan (SLG) yang ditetapkan.

Laksana proses audit

Bagi mengesahkan kualiti rangkaian yang dibekalkan pembekal serta dapatan pengauditan KPM, pengauditan oleh agensi luar dan pihak berkecuali juga dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Antara agensi luar yang pernah dilibatkan dalam pengauditan rangkaian 1BestariNet ialah MAMPU dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Setakat ini, berdasarkan pengauditan rangkaian yang dilaksanakan secara berkala, pembekal didapati memenuhi aras jaminan perkhidmatan (SLG) seperti dalam kontrak 1BestariNet.

Mengenai penemuan audit terhadap pencapaian kewangan bagi projek ini bahawa bayaran ke atas perkhidmatan lebar jalur 10Mbps bagi Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) di seluruh Malaysia, sejumlah RM0.32 juta tidak diperuntukkan dalam Lampiran B - Jadual Harga Kontrak dan tiada sebarang kelulusan pelarasan nilai kontrak, kementerian ingin menjelaskan bahawa pembayaran tersebut tidak diperuntukkan dalam Jadual Pembayaran Projek.

Namun, skop kerja dan kadar pembayaran adalah seperti yang tercatat dalam kontrak (Klausa 4.2(b)) di mana jadual harga kontrak dan jumlah perbelanjaan projek 1BestariNet adalah di bawah siling kontrak.

Mengenai penemuan audit berkaitan Pelantar Pembelajaran Maya (VLE), VLE merupakan komponen yang paling penting dalam projek perkhidmatan 1BestariNet. Tahap penggunaan dalam tempoh tiga tahun pertama berada dalam lingkungan lima peratus sebagaimana lazim dalam program transformasi pengintegrasian ICT.

Tingkat penggunaan VLE

Kementerian Pendidikan sedang memastikan tahap penggunaan VLE ditingkatkan kepada 30 hingga 35 peratus, dalam tempoh satu tahun dengan mengambil langkah kukuh seperti berikut:

Memastikan prestasi capaian internet yang berupaya memberi pengalaman pengguna yang baik melalui pemantauan kualiti rangkaian yang proaktif dan rapi;

Memastikan setiap sekolah mempunyai kelengkapan ICT untuk melaksanakan e-Pembelajaran melalui program 1Murid 1Peranti serta program penyenggaraan peralatan ICT;

Memastikan semua pengurus sekolah mempunyai kemahiran menguruskan sumber terhad melalui penjadualan optimum;

Memastikan VLE mempunyai bilangan kandungan (pelajaran) yang mencukupi dan boleh dicapai semua murid tanpa intervensi guru;

Memberi khidmat sokongan atas talian dan di sekolah;

Memantau dan memaklumkan pengurus sekolah sekiranya tahap penggunaan dalam kalangan murid tidak menepati tahap penggunaan dalam kalangan murid dan guru.

KPM akan menetapkan KPI penggunaan VLE bagi tahun 2015 khususnya di kalangan guru, di antara 25 peratus hingga 40 peratus penggunaan.

Mengenai penemuan audit berkaitan sewaan tapak, KPM menjelaskan bahawa kontrak memperuntukkan bahawa kerajaan akan memberi pertimbangan, kebenaran dan kelulusan untuk mendirikan, membina atau memasang sebarang perkakasan atau peralatan 1BestariNet yang diperlukan dalam kawasan tapak pengguna.

KPM mengenakan sewaan sebanyak RM1,000 setahun bagi semua tapak konsisten dengan keputusan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan. Dalam kontrak 1BestariNet sudah dinyatakan bahawa kos utiliti dibiayai oleh kementerian.

KPM turut ingin memaklumkan bahawa satu Jawatankuasa Siasatan sudah ditubuhkan bagi mengenal pasti tindakan penambahbaikan.

493 dibaca
Berita Harian X