Khamis, 23 Jun 2016 | 12:55pm

Elfira Loy cuti sebulan


PELAKON, Elfira Loy. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Pelakon Elfira Loy mengakui Ramadan ini memberi kelainan kepada dirinya apabila buat kali pertama bercuti sepanjang bulan puasa selepas bertahun berbuka atau bersahur di lokasi penggambaran.

Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 22, berkata dia memilih untuk fokus keluarga selain memberi tumpuan terhadap operasi kafe miliknya, Love Me Seven Days di Alam Damai, di sini.

"Saya memang berehat sepenuhnya dan terpaksa menolak segala tawaran yang datang pada bulan yang penuh mulia ini selepas beberapa tahun kebelakangan ini sibuk dengan kerja.

"Tumpuan juga diberikan kepada kafe yang ditutup selama sebulan bagi menghormati Ramadan. Bersama ibu dan dan adik-beradik, kami menggunakan kesempatan ini untuk meningkatkan mutu resipi hidangan sedia ada demi menyediakan lebih kepuasan kepada pengunjung.

"Ramai yang bertanya mengapa kami menutup kafe. Sebenarnya ia hanya sementara kerana tempoh sebulan diambil bagi menyelaraskan sistem gas dan sebagainya. Kami kini menggunakan dapur yang lebih besar, jadi pelbagai langkah keselamatan perlu diambil," katanya.

Elfira berkata, bukan mudah untuk terus mengekalkan bisnes dalam industri makanan malah perlu peka dengan kehendak pelanggan. Cabaran juga sangat tinggi tetapi namun dia bertuah mendapat sokongan keluarga yang membantu menguruskan kafe itu.

"Masih banyak yang perlu saya pelajari kerana masih hijau dalam bidang perniagaan. Syukur kerana keluarga turut serius memastikan hidangan yang ditawarkan kami menepati selera. Boleh dikatakan semua anggota keluarga saya turun padang dan bekerja keras memastikan kelancaran bisnes ini.

"Saya pernah diuji apabila pekerja melarikan diri, membuatkan kafe menjadi terkontang kanting begitu saja. Mujur ada adik beradik saya mengerah keringat sementara menanti pekerja baharu datang. Itu antara cabaran yang pernah saya lalui," katanya lagi.

84 dibaca
Berita Harian X