Isnin, 20 Jun 2016 | 4:24pm

Pembangkang tak mampu urus perbezaan pendapat

CHUKAI: Pertembungan antara PAS dan Parti Amanah Negara di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar disifatkan sebagai bencana besar kepada pembangkang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata akibat pertembungan itu, kedua-dua parti pembangkang berkenaan jelas gagal menjatuhkan Barisan Nasional (BN).


MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. - Foto Asyraf Hamzah

"Kita dapat lihat rakyat hilang keyakinan akibat perpecahan dalam kalangan parti pembangkang melalui pertandingan tiga penjuru yang meletakkan dua calon pembangkang, sekali gus menjadi bencana besar buat pembangkang.

"Kalau parti dalam keadaan porak peranda dan tak mampu menguruskan perbezaan, sudah tentu mereka tak mampu menguruskan negeri dan negara," katanya selepas Program Sempurnakan Ramadan dan Raikan Aidilfitri Parlimen Kemaman di Pasaraya Giant Bandar Baru Kijal, di sini, hari ini.

Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, kredibiliti parti serpihan PAS itu masih diragui pengundi dan tidak mempunyai sasaran penyokong tetap, selain masih bergantung kepada jentera serta pengundi DAP.

"Kita lihat PAS dan parti serpihannya bukan ibarat merebut pingat emas, sebaliknya mereka hanya berebut pingat perak dan gangsa.

"Jika DAP bertanding, parti serpihan PAS itu tidak akan berpeluang dapat perak dan gangsa tetapi mendapat tempat yang lagi tercorot," katanya.

Shabery berkata, kemenangan besar diperoleh BN bagi Parlimen Sungai Besar dengan majoriti undi 9,191 undi dan di Parlimen Kuala Kangsar (6,969 undi) sudah cukup membuktikan keyakinan rakyat kepada BN semakin kukuh.

"Kemenangan itu juga membuktikan keyakinan rakyat terhadap pembangkang semakin merosot kerana modal pembangkang sekadar memutarbelitkan isu bagi memburukkan kerajaan, sebaliknya kerajaan BN terus berkhidmat untuk rakyat dengan lebih cemerlang," katanya.

18 dibaca
Berita Harian X