Ahad, 12 Jun 2016 | 12:06am
PEKERJA ladang, Mohd Fadzil Mad Said, menanam benih MD2 di tapak semaian di di Bagan Nyoir, Juru, Pulau Pinang. - Foto Kamaruddin Shah
BENIH MD2 di tapak semaian di atas tanah seluas 7.68 hektar di Bagan Nyoir, Juru, Pulau Pinang. - Foto Kamaruddin Shah
DUA pekerja ladang menuai nanas jenis MD2 di atas tanah seluas 7.68 hektar di Bagan Nyoir, Juru, Pulau Pinang. - Foto Kamaruddin Shah
PEKERJA ladang, Mohd Fadzil Mad Said, 39, menunjukkan nanas jenis MD2 yang mendapat permintaan tinggi di pasaran. - Foto Kamaruddin Shah

Dari padang kawad ke ladang nanas


NIBONG TEBAL: Menjadi petani yang bekerja di bawah terik matahari dan perlu berada di ladang dalam jangka masa panjang pastinya bukan pilihan sesetengah orang terutama golongan belia.

Namun bagi Mejar (B) Muhamad Zahiri Zainuddin, 46, perkara itu menjadi rutin hariannya dan beliau kini berbangga dengan status 'Jutawan Nanas' di negara ini.

Zahiri yang juga Pengurus Besar ZZA Plantation berkata, beliau mula menceburi penanaman nanas sejak April 2015 di atas tanah seluas 7.7 hektar di Bagan Nyoir, Juru, dan kini dalam perancangan memperluaskan ladangnya sehingga 20 hektar dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pada masa ini, ladang beliau menghasilkan tiga hingga enam tan nanas sebulan yang mana harga runcitnya ialah antara RM6 hingga RM8 sekilogram.

Nanas dipetik tiga kali sebulan dan hasil setiap kali tuaian ialah antara satu hingga dua tan.


ZAHIRI mula menceburi penanaman nanas sejak April 2015 di atas tanah seluas 7.68 hektar di Bagan Nyoir, Juru, Pulau Pinang. - Foto Kamaruddin Shah


NANAS jenis MD2 kini menjadi pilihan untuk ditanam dan sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran. - Foto Kamaruddin Shah

"Saya berkhidmat selama 21 tahun bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum mengambil keputusan bersara awal pada 2014.

"Tidak sampai setahun berehat, saya mengambil keputusan menceburi bidang pertanian iaitu penanaman nanas selepas mendapat bantuan subsidi daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM)," katanya ketika ditemui BH.

Hasil bimbingan LPNM dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Zahiri tidak lagi menoleh ke belakang apabila menjadikan ladangnya sebagai 'padang kawad' baharu di mana beliau menghabiskan masa berjam-jam bersama pokok nanas.

"Menggunakan modal sendiri berjumlah RM300,000, saya mula menanam dua jenis nanas dari varian MD2 dan Morris yang diperkenalkan LPNM sebelum FAMA membantu memasarkan hasil tuaian ladang.

"Varian ini dipilih kerana isinya yang padat, rasanya yang manis dan berjus sehingga mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan luar Pulau Pinang menyebabkan bekalan buah menjadi terhad," katanya.


DUA pekerja ladang menuai nanas jenis MD2. - Foto Kamaruddin Shah


NANAS jenis MD2 yang mendapat permintaan tinggi di pasaran. - Foto Kamaruddin Shah

Beliau yang menyertai program 'Jutawan Nanas' di bawah seliaan LPNM menggalakkan golongan belia dan bakal usahawan menceburi bidang pertanian kerana ia dianggap kerjaya yang mampu menjamin masa hadapan.

"Program ini sebenarnya adalah bagi menggalakkan usahawan muda menceburi bidang penanaman nanas dengan lebih serius kerana ketika ini pengeluaran nanas dalam negara masih lagi belum mencukupi.

"Nanas jenis MD2 kini menjadi pilihan untuk ditanam di ladang sekitar Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Kedah kerana menjanjikan pulangan lumayan kepada pengusaha dan sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran," katanya.

Berikutan itu, beliau menganggap sudah sampai masanya golongan belia terutama lepasan universiti mengubah pemikiran dan menjadikan pertanian sebagai kerjaya asalkan mereka sanggup berusaha dan tidak cepat putus asa.

150 dibaca
Berita Harian X