Khamis, 9 Jun 2016 | 10:08am

Saham Asia jejaki peningkatan di Wall Street

TOKYO: Saham Asia meningkat hari ini selepas Wall Street mencatat kenaikan semalaman, manakala dolar yang lebih lemah menyokong komoditi seperti emas dan minyak mentah.

Dolar New Zealand mencuri tumpuan utama dalam dagangan awal Asia, melonjak ke paras tertinggi dalam satu tahun berikutan situasi lega selepas bank pusat negara itu mengekalkan kadar faedah yang stabil seperti yang diharapkan walaupun beberapa pasaran sedang menimbangkan untuk pmotongan.

Indeks meluas MSCI saham Asia Pasifik di luar Jepun meningkat 0.3 peratus.

Kospi Korea Selatan menokok 0.2 peratus, manakala Nikkei jatuh 0.3 peratus, diheret turun oleh nilai yen yang lebih kukuh.

Di Wall Street, Dow naik 0.4 peratus semalaman, semakin meningkat di atas paras 18,000 mata buat kali pertama sejak April disebabkan dolar yang lebih lemah meningkatkan beberapa saham berkaitan komoditi.

Pelabur telah kembali membeli aset yang lebih berisiko di peringkat global sejak minggu lalu selepas laporan data pekerjaan bukan ladang Amerika Syarikat (AS) lebih teruk daripada jangkaan Jumaat lalu.

Data itu dilihat sebagai panduan memastikan keadaan mudah tunai dalam AS akan kekal agak longgar sekurang-kurangnya buat masa ini di tengah-tengah penurunan jangkaan terhadap kenaikan kadar faedah dalam jangka masa terdekat oleh Rizab Persekutuan (Fed).

Kemungkinan Fed tidak akan menaikkan kadar faedah pada bulan Jun atau Julai juga telah menjejaskan dolar. - Reuters

16 dibaca
Berita Harian X