Ahad, 5 Jun 2016 | 5:54pm

Bomba ambil masa 2 jam bersihkan tumpahan merkuri

SEREMBAN: Anggota bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk membersihkan tumpahan merkuri dalam alat pengukur tekanan darah milik seorang doktor yang pecah di sini, hari ini.

Dalam kejadian di Rasah Kemayan, Seremban 2, kira-kira jam 2.20 petang itu, beg yang mengandungi alat itu terjatuh dari meja menyebabkan cecair merkuri itu terkena perabot dalam bilik utama rumah itu.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Timbalan Penguasa Bomba Mohamad Idris, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 2.25 petang.

Katanya, satu jentera pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) bersama 12 pegawai dan anggota tiba di rumah itu pada jam 2.32 petang.

"Kami menggunakan sejenis tisu basah untuk membersihkan tumpahan merkuri. Oleh kerana percikan bahan itu walaupun sedikit boleh membahayakan manusia, kerja pembersihan di tempat tumpahan itu dilakukan secara menyeluruh," katanya di sini, hari ini.

Mohamad berkata, kejadian itu yang membabitkan kuantiti merkuri yang sangat sedikit, tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada penghuni rumah itu.

32 dibaca
Berita Harian X