Khamis, 2 Jun 2016 | 12:13am
HAZMIE menjual sayur dan mengagih benih berhampiran Pasar Tani Medan Gopeng pada setiap hari Ahad dan berkongsi pengalaman dengan pelanggan mengenai kaedah pertanian moden. - Foto Muhaizan Yahya
SEBAGAI graduan Diploma Pertanian UPM, Hazmie benar-benar memanfaatkan ilmu yang dipelajarinya. Foto Muhaizan Yahya
HAZMIE (kanan) memberi tunjuk ajar kepada pelanggan mengenai sistem hidropod menggunakan bahan kitar semula seperti botol mineral sebagai pasu manakala sabut kelapa atau sekam padi sebagai pengganti tanah. - Foto Muhaizan Yahya
SAYUR segar yang boleh dipilih dan dituai sendiri pelanggan memberi kelebihan kepada Hazmie untuk mempromosikan usaha bertani dalam kalangan orang ramai di Pasar Tani Medan Gopeng pada setiap hari Ahad.
ORANG ramai yang berminat mengenai penanaman secara fertigasi turut mengunjungi kebun diusahakan Hazmi.

Pa'mie gigih promosi fertigasi dan hidropot


IPOH: Berniaga sambil berkongsi ilmu serta pengalaman, menjadi strategi seorang graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) menggalakkan orang ramai bertani, meskipun mempunyai ruang yang terhad.

Pada setiap Ahad, Muhamad Hazmie Hassan, menumpang di luar kedai rakannya berhampiran Pasar Tani Medan Gopeng di sini, untuk menjual benih pokok serta sayuran segar yang dibawa bersama bekas tanaman untuk dituai pelanggan.

Hazmie, 25, yang turut dikenali sebagai Pa'mie Petani, turut memberi tunjuk ajar mengenai penanaman sayur-sayuran menggunakan kaedah seperti fertigasi, hidropot dan polibeg, selain mengagihkan benih kepada mereka yang berminat.

"Saya cenderung mempromosikan kaedah pertanian fertigasi mini sebagai cara bercucuk tanam di sekitar rumah dalam kapasiti kecil. Kaedah ini membabitkan usaha menanam pokok menggunakan polibeg yang dilengkapi sistem pengairan dan pembajaan mengikut sukatan tertentu.

"Alternatif ini lebih sesuai untuk tanaman sayur bagi kegunaan harian seperti kobis, salad, sawi dan bayam menggunakan baja buatan sendiri," katanya yang juga graduan Diploma Pertanian UPM Kampus Bintulu.

 

Hazmie berkata, idea mengagihkan biji benih dan anak pokok kepada pelanggan timbul sejak awal tahun ini berikutan masyarakat semakin minat berkebun tetapi tidak mempunyai tanah yang luas.


HAZMIE memindahkan benih pokok ketika menunjukkan kepada orang awam berhampiran Pasar Tani Medan Gopeng. - Foto Muhaizan Yahya


HAZMI melayani pengunjung tempat niaganya menjual sayur dan mengagihkan benih berhampiran Pasar Tani Medan Gopeng pada setiap hari Ahad. - Foto Muhaizan Yahya

Katanya, pelanggan tidak perlu tanah yang luas, memadai menggunakan halaman rumah untuk memulakan amalan bercucuk tanam.

"Sebagai permulaan, konsep kebun fertigasi mini ini saya mula buat promosi menerusi media sosial Facebook dan saya berikan benih percuma kepada pelanggan yang berkunjung ke pasar tani berhampiran pada setiap Ahad.

"Tiada had kuantiti yang ditetapkan untuk diberikan secara percuma. Jika pelanggan mahu campuran pelbagai jenis benih pokok atau biji benih, saya akan berikan sehingga stok kehabisan," katanya yang mendalami kaedah fertigasi di Institut Pertanian Serdang.

Selain fertigasi mini, Hazmie turut memberi tunjuk ajar kepada pelanggan menerusi sistem hidropot yang menggunakan bahan kitar semula seperti botol mineral sebagai pasu, manakala sabut kelapa atau sekam padi sebagai pengganti tanah.

Katanya, beliau bersyukur usahanya menggalakkan masyarakat bertani diterima ramai sehingga pengunjung dari Lembah Klang turut menghubunginya bagi mendapatkan perkhidmatan khususnya dalam penanaman kaedah fertigasi.


HAZMIE menunjukkan kepada kanak-kanak mengenai penanaman biji benih mengikut kaedah pertanian moden.


HAZMIE menunjukkan pertanian secara sistem hidropod yang menggunakan bahan kitar semula. - Foto Muhaizan Yahya

Malah usahanya menyuntik amalan berkebun mendapat perhatian ramai termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan syarikat korporat sekitar Perak.

"Harga dan perkhidmatan yang saya tawarkan mengikut pakej tertentu termasuk bimbingan hingga mahir serta pemberian biji benih dan anak pokok secara percuma seumur hidup.

"Maknanya, kalau kebun fertigasi mini pelanggan tidak berjaya berikutan serangan serangga, saya akan gantikan dengan benih baru selain merawat kebun terbabit sehingga pulih," katanya.   


HAZMIE menunjukkan anak benih yang diagihkan kepada orang ramai yang mengunjungi tempat niaganya setiap Ahad. Foto Muhaizan Yahya

INFO:

  • Promosi bertani menerusi akaun FB, Rakan Tani Pa'mie Petani
  • Edarkan benih di Pasar Tani Medan Gopeng setiap Ahad

312 dibaca
Berita Harian X