Khamis, 26 Mei 2016 | 4:48pm

MRCB rakan pelaksana projek Kwasa Damansara


Pengarah Urusan KWASA Land Sdn Bhd, Datuk Mohd Lotfy Mohd Noh (dua dari kiri) menandatangani dokumen perjanjian dengan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Resources Corporation Bhd, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (dua kanan), Pengarah Eksekutif Malaysia Resources Corporation Bhd, Mohd Imran Mohamad Salim (kanan), Pengurus Besar kanan Perkhidmatan Korporat KWASA Land Sdn Bhd, Nor Hazqirah Che Idris (kiri) dengan disaksikan Pengerusi Kwasa Land Sdn Bhd, Tan Sri Samsudin Osman (tiga dari kiri) pada majlis menandatangani perjanjian PDP antara KWSA Land Sdn Bhd dan MRCB Builders Sdn Bhd untuk infrastruktur utama KWSA Damansara di ibupejabat MRCB Pejabat Menara Allianz Sentral, Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dilantik Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi kerja infrastruktur utama di perbandaran Kwasa Damansara yang akan dimajukan oleh Kwasa Land Sdn Bhd.

Ia dimuktamadkan menerusi perjanjian yang dimeterai antara MRCB Builders Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh MRCB dan Kwasa Land yang juga anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menerusi perjanjian itu, MRCB Builders akan meraih yuran PDP berdasarkan lima peratus daripada kos pembangunan projek Kwasa Damansara yang dianggarkan bernilai RM2.2 bilion.

Skop kerja PDP termasuk perkhidmatan pengurusan projek yang berkaitan reka bentuk, pemerolehan dan pembinaan infrastruktur utama di kawasan seluas kira-kira 650 hektar.

Pemilihan MRCB sebagai PDP perbandaran mega itu bersandarkan keupayaan teknikal dan pengalamannya melaksanakan projek serta pembangunan berskala besar, di samping peranannya sebagai PDP bagi projek LRT 3.

Pengarah Eksekutif MRCB, Imran Salim, berkata kerja membangunkan infrastruktur Kwasa Damansara akan dimulakan sebagai saja pihaknya mendapat kelulusan serta permit diperlukan, yang dijangka diperoleh tahun ini.

Katanya, ia membabitkan pembinaan kemudahan yang diperlukan oleh pembangunan Kwasa Damansara termasuk infrastruktur awam seperti air, jana kuasa, tenaga elektrik, kerja asas, jalan raya serta pelbagai kerja fabrikasi lain.

"Sebagai PDP, MRCB diberikan mandat untuk membina infrastruktur yang akan mengambil masa panjang memandangkan projek membabitkan kawasan pembangunan luas.

"Keseluruhan kerja pembinaan infrastruktur dijangka mengambil masa panjang dan kami tidak bimbang dengan sentimen pasaran pada hari ini. Fasa pertama (kerja membina infrastruktur) dijangka bermula hujung tahun ini," katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian antara MRCB Builders dan Kwasa Land di sini, sebentar tadi.

Imran dan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din memeterai perjanjian bagi pihak MRCB Builders manakala Kwasa Land diwakili Pengarah Urusan, Datuk Mohd Lotfy Mohd Noh dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat, No Hazqiah Che Idris.

Majlis itu disaksikan oleh Pengerusi Kwasa Land, Tan Sri Samsudin Osman.

Mengulas lanjut, Imran berkata fasa pertama kerja pembinaan infrastruktur Kwasa Damansara penting kerana terdapat jumlah penyertaan pelabur institusi Bumiputera yang memberangsangkan, memandangkan matlamat keseluruhan projek berkenaan juga adalah untuk meningkatkan pegangan kepentingan Bumiputera.

"Sekarang ini, penyertaan pelabur Bumiputera adalah 33 peratus dan kami hanya memerlukan sekitar dua peratus lagi bagi memenuhi keperluan 35 peratus. Kami juga akan cuba mendapatkan angka lebih tinggi, iaitu mungkin sekitar 40 peratus," katanya.

INFO:

Projek Kwasa Damansara

*Terletak di atas tanah seluas 940 hektar bekas tapak Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) Sungai Buloh

*Lokasi strategik dikelilingi bandar utama seperti Petaling Jaya, Subang Jaya, Kelana Jaya, Shah Alam, Damansara dan Sungai Buloh

*Mempunyai hubungan pengangkutan awam dan akses yang kukuh

*Pembangunan keseluruhan akan mengambil masa 20 tahun

131 dibaca
Berita Harian X