Rabu, 25 Mei 2016 | 10:52pm

Audit dalaman salahkan kecuaian Clinton dalam isu e-mel


HILLARY Clinton. - Foto AFP

WASHINGTON: Hillary Clinton tidak mengendahkan pelbagai garis panduan Jabatan Negara untuk mengelak risiko keselamatan siber, kata satu audit dalaman hari ini, menyalahkannya dan setiausaha negara sebelumnya kerana pengurusan maklumat yang lemah.

Analisis ketua pemeriksa setebal 78 muka surat, salinan yang diperoleh The Associated Press, memetik "kelemahan sistemik sekian lama" berkaitan komunikasi agensi itu. Ia bermula sebelum pelantikan Clinton sebagai setiausaha negara, namun kegagalannya dianggap lebih serius.

Walaupun wujud garis panduan dan tidak pernah memohon kelulusan, Clinton menggunakan peranti mudah alih untuk menjalankan tugas rasmi dalam akaun e-mel peribadi dan pelayan persendirian.

Beliau tidak pernah memohon kelulusan daripada pegawai kanan maklumat, yang mungkin menolak permintaannya kerana risiko keselamatan, kata audit berkenaan.

"Menjelang pelantikan Clinton sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), peraturan jabatan dianggap lebih terperinci dan canggih.

"Amalan keselamatan siber Clinton sewajarnya perlu dinilai berdasarkan arahan lebih komprehensif," ia membuat kesimpulan.

Kajian itu tercetus dengan pendedahan penggunaan e-mel Clinton, yang menjejaskan kempennya untuk pencalonan Presiden Demokrat. Bagaimanapun, kajian itu juga merangkumi e-mel dan amalan maklumat lima setiausaha negara terdahulu.

Laporan berkata, jabatan itu dan setiausahanya agak "lambat mengenal pasti dan mengurus secara berkesan syarat perundangan dan risiko keselamatan siber dikaitkan dengan data komunikasi elektronik, terutama risiko berkaitan pemimpin paling kanan." -AP

43 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »