Rabu, 18 Mei 2016 | 5:36pm

Azmin Ali pertahan tindakan sertai Deklarasi Rakyat


TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Muhammad Sulaiman

SABAK BERNAM: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertahankan penyertaannya dalam Deklarasi Rakyat yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini.

Beliau berkata, Deklarasi Rakyat yang turut disertai kepimpinan utama DAP dan Parti Amanah Negara itu (PAN) itu juga sudah dimasukkan dalam agenda reformasi yang sering dilaungkan PKR.

"Keputusan untuk sertai Deklarasi Rakyat ini dibuat bersama semua parti dalam Pakatan Harapan dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kami (Deklarasi Rakyat) bukan mahu menggulingkan Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) atau memperkuatkan UMNO, sebaliknya untuk menarik rakyat dekat dengan pembangkang dan buktinya ia sudah berjaya dapat lebih sejuta sokongan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bas Percuma Smart Selangor Daerah Sabak Bernam, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin bagaimanapun tetap bersetuju dengan saranan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengingatkan pemimpin pembangkang supaya berwaspada dengan Dr Mahathir.

"Ini masalah dalaman parti, tidak perlu dihebahkan," katanya.

Semalam, Dr Wan Azizah mengingatkan perkara itu terutama kepada mereka yang menyertai Deklarasi Rakyat. Ia berikutan surat didakwa ditulis suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang antara lain meminta pemimpin pembangkang yang bekerjasama dengan Dr Mahathir untuk berwaspada dengan politik elit penguasa.

349 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »