;
Ahad, 15 Mei 2016 | 4:50pm

Calon PhD terima Anugerah Khas Belia Negara 2016


AHMAD Zahid menyampaikan Anugerah Khas Belia Negara 2016 kepada Hafizah (kanan) pada Sambutan Hari Belia Negara 2016 di UPM Serdang, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

SERDANG: Kejayaan membuktikan teori sains ramalan saintis tersohor dunia, Albert Einstein, mengangkat Hafizah Noor Isa sebagai penerima Anugerah Khas Belia Negara 2016.

Hafizah, 26, calon Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Fizik Material di University of Glasgow, menarik perhatian dunia pada Februari lalu apabila berjaya membuktikan teori gelombang graviti yang diramal Einstein pada tahun 1915.

Anak kelahiran Machang, Kelantan itu adalah seorang daripada 100 saintis dunia terbabit dalam pasukan yang menyiapkan kertas saintifik Pemerhatian Gelombang Graviti Daripada Penggabungan Dwi Lubang Hitam di Glasgow, Scotland.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta piala dan sijil yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada majlis Sambutan Hari Belia Negara di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Buku Tokoh Belia sempena Sambutan Hari Belia Negara 2016, di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin (kanan), Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan (kiri) dan Presiden Majlis Belia Negara, Mua'amar Ghadafi Jamal Wira Jamaluddin (dua dari kanan). - Foto Saddam Yusoff

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Timbalannya, Datuk M Saravanan; Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mu'amar Ghadafi Jamaluddin dan Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris.

Turut menerima anugerah adalah Hazrul Hafizi Abd Halim bagi Anugerah Emas Remaja Perdana, B Vanita (Anugerah Perdana Belia Negara Kategori Individu Wanita) dan Mohd Syahbuddin Hashim (Anugerah Perdana Belia Negara Kategori Individu Lelaki).

Tiga pertubuhan belia turut menerima Anugerah Perdana Belia Negara iaitu Gerakan Belia 4B Malaysia Baling, Kedah (juara), Persatuan Belia Kampung Jeram Besu, Pahang (kedua) dan Persatuan Belia FELDA Jelai 3, Negeri Sembilan (ketiga).

262 dibaca
Berita Harian X