Jumaat, 13 Mei 2016 | 12:23am

Syarikat China bida projek HSR KL-Singapura

BEIJING: China Communications Construction Company Ltd (CCCC), sebuah firma nasional dan anak syarikatnya, China Harbour Engineering Company Ltd, (CHEC) berminat untuk membida projek kereta api berkelajuan tinggi Malaysia-Singapura (HSR).

Timbalan Pengurus Bahagian Pemasaran CHEC, Ding Wen, berkata butiran seperti bagaimana untuk menyiapkan, pelaksanaan dan menghubungkan projek berkenaan dengan kedua-dua negara sedang dalam peringkat perbincangan.

Beliau berkata, sebagai kontraktor antarabangsa, CCCC dan CHEC sangat berminat untuk mengambil bahagian dalam projek kereta api itu dan sedang memantau rapat perkembangannya.

"Kami akan menubuhkan satu pasukan yang terdiri daripada bank-bank yang berkelayakan, firma perunding dan kumpulan pelabur bagi bekerjasama dan membida projek ini," katanya kepada sekumpulan wartawan Asia Tenggara yang mengikuti lawatan media selama tujuh hari ke Beijing, Tianjian, Suzhou Selatan dan Quanzhou.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengumumkan bahawa memorandum persefahaman dengan Singapura dijangka ditandatangani pada pertengahan tahun depan sebagai pemudah cara projek kereta api itu.

Ini telah mencetuskan minat dalam kalangan firma pembinaan termasuk dari China. - BERNAMA

107 dibaca
Berita Harian X