Rabu, 11 Mei 2016 | 12:20am

90,603 penghidap aktif HIV/AIDS di Malaysia - Dr Hilmi


TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (kiri) bergambar bersama Duta Yayasan AIDS Malaysia, (dua dari kiri) Fahrin Ahmad, Hafiz Hamidun, Bob Yusof dan Miss Universe Malaysia 2016, Kiran Jassal selepas melancarkan kempen 'Ending AIDS Begins Now' (Menghapuskan AIDS Bermula Sekarang) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) melancarkan kempen kesedaran awam terbaharunya mengenai HIV dan AIDS sebagai sebahagian daripada Pelan Strategik Kebangsaan bagi Menghapuskan AIDS 2016-2030.

Kempen itu bertemakan 'Ending AIDS Begins Now' (Menghapuskan AIDS Bermula Sekarang).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata sejak kes pertama HIV/AIDS dikesan di Malaysia pada 1986, terdapat 17,916 kematian daripada 108,519 kes yang dilaporkan berkaitan penyakit itu dengan kira-kira 90,603 orang masih menghidapnya.

"Daripada 90,603 pesakit, hanya 30 peratus mendapatkan rawatan perubatan secara tetap untuk meneruskan kehidupan mereka. Kami menggesa mereka yang lain juga supaya turut berbuat demikian," katanya selepas pelancaran kempen itu hari ini.

Beliau berkata, kes jangkitan baharu HIV menurun sebanyak 50 peratus berbanding 2002 dan terdapat pengurangan ketara kematian berkaitan AIDS iaitu sebanyak 28 peratus sejak 2002.

Terdahulu, MAF menerima sumbangan RM100,000 daripada Kingsmen, iaitu kumpulan tokoh korporat dan usahawan yang menyokong program penjagaan, sokongan dan rawatan HIV berimpak tinggi yayasan itu. - BERNAMA

187 dibaca
Berita Harian X