Sabtu, 7 Mei 2016 | 4:29pm

Pemenang 4 emas Russia Olimpik Sochi terbabit doping

LOS ANGELES: Pemenang empat emas Russia pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Sochi 2014, didakwa terbabit dalam penyalahgunaan doping, menurut Vitaly Stepanov dalam temuramah di rancangan televisyen CBS "60 minit".

Dalam satu temuramah yang akan ditayangkan esok, Stepanov yang juga bekas pegawai Agensi Anti-Doping Russia (RUSADA), menamakan bekas ketua makmal ujian doping Grigor Rodchenkov memberitahu dia, jabatan keselamatan FSB "cuba untuk mengawal setiap langkah proses anti-doping di Sochi."

Tuan rumah Russia memenangi 13 pingat emas di Sukan Olimpik Sochi itu. Sedutan temuramah itu mendedahkan kes doping tanpa menyebut nama atlet terbabit.

Namun berita itu boleh mengundang permasalahan kes doping membabitkan atlet olahraga Russia dengan badan sukan berkenaan sudah pun digantung daripada SUkan Olimpik di Rio pada Ogos ini.

Stepanov dan isterinya, Yuliya Stepanova yang digantung, tampil dalam dokumentari Jerman dengan menyalahkan sistem doping teratur di Russia pada 2014 - dengan dakwaan itu kemudian disokong suruhanjaya bebas Agensi Anti-Doping Dunia yang mendapati bukti mengenai rasuah dan doping.

Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) menggantung Russia pada November lalu dengan majlis IAAF dijangka memutuskan pada Jun ini sama ada atlet olahraga negara itu boleh bertanding di Rio.

Dalam program "60 minit", ketua Agensi Anti Doping Amerika Syarikat, Travis Trygart berkata dia tidak percaya badan olahraga Russia sudah melakukan sebaik mungkin dalam cuba membersihkan imej mereka dan USADA "tidak bersetuju" atlet olahraga Russia bertanding di Rio. - AFP

144 dibaca
Berita Harian X