Jumaat, 6 Mei 2016 | 6:13am

Laporan palsu cetus kekacauan

SEGALA pembongkaran Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report yang kerap mengukir berita palsu, propaganda tersirat dan berniat jahat sudah terlerai. Terkini WSJ 'terkantoi' apabila Datuk Muhammad Ibrahim, dilantik sebagai Gabenor Bank Negara yang baharu menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Mereka sebelum ini menjaja berita kononnya kerajaan akan melantik Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah sebagai Gabenor Bank Negara.

Penerbitan yang berniat jahat itu juga mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik 'kroni' bagi mengekalkan kuasa. Lebih menghairankan parti pembangkang yang bertanding dalam pilihan raya negeri di Sarawak seolah-olah mengesahkan berita itu sebagai benar.

Lebih dahsyat lagi tindakan WSJ dan Sarawak Report mengheret nama Yang di-Pertuan Agong dalam serangan terhadap Malaysia. Pemberitaan yang tidak bertanggung jawab dan mengaibkan ini tidak pula diakui dengan permohonan maaf atau pengakuan kesilapan, namun terus diserang dengan teknik penulisan yang lain.

Laporan WSJ dan Sarawak Report menunjukkan mereka melanggar prinsip dan etika kewartawanan, tidak menghormati negara ini atau institusi Raja.

Tidak boleh dipercayai

Hakikatnya, WSJ dan Sarawak Report tidak lagi boleh dipercayai.

Jelas, laporan WSJ dan Sarawak Report adalah fantasi dan ilusi kewartawanan. Tanpa rasa malu mereka menjaja pemalsuan sebagai fakta dan senjata untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN). Bermakna pembangkang juga perlu dan sewajarnya menarik balik kenyataan yang pernah dibuat dan memohon maaf. Atau adakah boleh kita katakan bahawa pembangkang juga penyebar berita palsu?

Isu dana politik diterima oleh Perdana Menteri turut menjadi bahan sensasi dan spekulasi oleh WSJ dan Sarawak Report. Namun, apabila kenyataan oleh Kerajaan Arab Saudi mengesahkan bahawa dana politik itu daripada mereka, tidak pula WSJ dan Sarawak Report menyatakan keinsafan dan membuat kenyataan maaf. Malah, isu ini terus diasak dengan pelbagai laporan 'konon itu dan ini' untuk terus memberi tekanan. Apa sebenarnya niat laporan pemberitaan sebegini?

Laporan tidak berasaskan fakta dan berdasarkan spekulasi dan fantasi akan menghancurkan dunia kewartawanan. Laporan yang palsu boleh mewujudkan ketidaktenteraman dan kekacauan. Malah, laporan tanpa fakta boleh menghancurkan keharmonian dan perpaduan. Jangan pula pemberitaan sebegini 'menghalalkan cara' untuk menjatuhkan kepemimpinan dan negara ini.

Jika laporan negatif sebegini menjadi rujukan dan dipercayai, maka rakyat dan masyarakat Malaysia akan bertambah keliru. Pemberitaan yang tidak berpaksikan kepada news trustworthiness adalah laporan palsu, penyebar khabar angin yang perlu dibanteras.

Maka sudah sampai masanya WSJ dan Sarawak Report dan 'penyebar berita palsu' dipanggil memberi penjelasan berikutan pemalsuan berita dan kempen dendam mereka terhadap Malaysia. Segala pembohongan dan agenda tersirat dan tersurat mereka perlu diheret ke mahkamah supaya Malaysia tidak terus dimomokkan oleh masyarakat dunia dengan pemalsuan dan pembohongan terancang.

Sebagai pengguna media, kita perlu prihatin dan cakna dalam memilih, menilai dan membuat keputusan terhadap laporan atau berita yang dihidangkan. Sampai bila kita terus ditipu dan pemimpin kita asyik dimalukan dengan berita tidak berasas dan tidak berfakta oleh media asing? Pembohongan WSJ, Sarawak Report dan konco-konconya kini terbukti dan rakyat Malaysia perlu tahu tiada satu pun laporan mereka yang boleh dipercayai lagi.

INFO:
The Wall Street Journal 

  • Akhbar berbahasa Inggeris yang memberi fokus terhadap perniagaan berpusat di New York, Amerika Syarikat (AS)
  • Diterbitkan enam hari seminggu oleh Dow Jones & Company, anak syarikat News Corp
  • Pengarang Gerard Baker

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA

151 dibaca
Berita Harian X