Jumaat, 29 April 2016 | 9:02pm

WSJ, Sarawak Report tak hormati Malaysia

PUTRAJAYA: Tindakan mengheret nama baik Yang di-Pertuan Agong dalam serangan laporan media asing terhadap Malaysia adalah perbuatan yang mengaibkan.

 

Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, berkata laporan berbentuk propaganda bertujuan menipu mengenai beberapa isu nasional oleh Wall Street Journal (WSJ) and Sarawak Report menunjukkan mereka tidak menghormati negara ini, kedaulatannya atau institusi Raja.

 

Beliau, dalam satu kenyataan semalam, turut menegur penerbitan berniat jahat itu yang selama lebih sebulan mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan melantik Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, sebagai Gabenor Bank Negara, walaupun pada hakikatnya tiada keputusan dibuat.

 

"Rabu lalu, pembohongan itu terbongkar apabila Datuk Muhammad Ibrahim, dilantik sebagai Gabenor Bank Negara yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

 

"Untuk menutup pembohongan dan rasa malu mereka terhadap masyarakat antarabangsa, WSJ dan Sarawak Report kemudian melaporkan bahawa tindakan itu adalah pusingan U oleh Perdana Menteri berikutan pelbagai tekanan," katanya.

 

Selain itu, tambah Tengku Sariffuddin, laporan berkenaan juga secara salah mendakwa Yang di-Pertuan Agong, yang sebelum ini menandatangani pelantikan Irwan, murka apabila dipujuk untuk menukar nama pada watikah pelantikan.

 

"Bagaimanapun, sudah dinyatakan secara terbuka oleh Yang di-Pertuan Agong dan Irwan bahawa perkara itu adalah palsu, yang mana baginda hanya menandatangani satu pelantikan iaitu untuk Muhammad pada 26 April lalu dan Irwan tidak pernah ditawarkan jawatan itu.

 

"WSJ dan Sarawak Report tidak mempunyai sebarang bukti untuk menyokong laporan mereka. Ia bukan berdasarkan fakta tetapi lebih menjurus kepada sumber tanpa nama, malah ada kemungkinan sumber ini tidak wujud atau boleh jadi satu lagi proksi untuk Kempen Anti Najib oleh Tun Dr Mahathir," katanya.

 

Tambah Tengku Sariffuddin, laporan WSJ dan Sarawak Report adalah fantasi kewartawanan di mana mereka tanpa rasa malu menjaja pemalsuan yang dilakukan oleh pembangkang sebagai fakta.

 

"Sudah tiba masanya WSJ dan Sarawak Report dipanggil memberi penjelasan berikutan kempen dendam mereka terhadap Malaysia. Pembohongan mereka kini terbukti dan rakyat Malaysia perlu tahu tiada satu pun laporan mereka yang boleh dipercayai," katanya. 

70 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »