Khamis, 28 April 2016 | 3:51pm

INHART UIAM, universiti Korea jalin kerjasama bidang halal

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Halal dan Latihan Antarabangsa (INHART) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memeterai persefahaman Universiti Kebangsaan Chonbuk (CBNU) dari Korea Selatan bagi menjalin kerjasama dalam bidang halal.

Perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-dua pihak akan menyaksikan INHART menawarkan kepakaran penyelidikan halal kepada CBNU.

Pengarah INHART, Prof Dr Irwandi Jaswir, berkata INHART akan menguruskan hal berkaitan halal di antara kedua-dua universiti, menggunakan teknologi dan kepakaran sedia ada bagi membantu CBNU memantapkan kajian dalam bidang halal di Korea.

"Ia juga merangkumi pertukaran maklumat, penyelidikan dan analisis dalam sistem pensijilan halal, program latihan berkaitan halal, teknologi, pengkomersialan serta pembangunan dan penyelidikan produk halal.

"Kerjasama ini untuk mendapatkan kepercayaan daripada Kerajaan Korea bagi membangunkan industri halal di negara berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kerjasama itu juga akan membuka peluang baharu dalam dunia penyelidikan halal selain dapat mengangkat nama UIAM sebagai peneraju dalam bidang terbabit.

"INHART juga mendapat peluang membangunkan kajian bersama beberapa institut penyelidikan di Korea Selatan bagi mewujudkan sistem patuh Syariah dalam bidang pertanian untuk penghasilan produk halal," katanya.

Antara pihak yang berminat membuat kajian bersama INHART ialah Institut of Jinan Red Ginseng, Pusat Penyelidikan Chunma dan Persatuan Peladang Korea Selatan.

52 dibaca
Berita Harian X