;
Jumaat, 22 April 2016 | 11:28am
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA)

Koperasi komuniti wajar teroka sektor hartanah

KUANTAN: Koperasi berasaskan komuniti digalak meneroka peluang perniagaan baharu, terutama bidang hartanah bagi melonjakkan pendapatan ahli serta menambah aset koperasi.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata ahli koperasi yang memiliki aset hartanah boleh bekerjasama dengan koperasi bagi memenuhi permintaan perumahan ketika ini.

Katanya, koperasi komuniti bukan sahaja berfungsi menambah pendapatan dan keuntungan tetapi membantu kerajaan memperbanyakkan rumah mampu milik.

"Harga rumah pada masa kini agak tinggi hingga menyukarkan orang ramai memiliki rumah, justeru ahli koperasi komuniti yang mempunyai tanah pusaka boleh membangunkan projek perumahan.

"Ini secara tidak langsung dapat menyediakan rumah mampu milik kepada ahli koperasi terutama belia yang belum mempunyai rumah," katanya selepas merasmikan Kursus Induksi Koperasi Anggota Baru ANGKASA Pahang Zon 1 dan Zon 2 di sini, petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Pahang Zon 2, Mansor Ab Rahman dan Pengerusi Perhubungan ANGKASA Pahang Zon 1, Mohd Zahidi Husain.

Abdul Fattah berkata, ketika ini ada dua koperasi menyertai bidang hartanah iaitu Koperasi Pembangunan Daerah Alor Gajah Berhad dan Koperasi Pengerang Kota Tinggi Berhad.

"Ia membabitkan pembinaan lebih 600 unit kediaman termasuk rumah mampu milik. Kita yakin lebih banyak koperasi menyertai bidang hartanah selepas ini," katanya.

80 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »