Rabu, 20 April 2016 | 12:26pm

Pesta liar Pulau Perhentian batal

JERTIH: Penduduk Pulau Perhentian Kecil lega apabila 'pesta liar' yang dijadualkan malam tadi, tidak diteruskan oleh penganjur.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Perhentian, Zainuddin Mohamad, berkata penganjur membatalkan pesta itu berikutan mendapat bantahan pelbagai pihak.

"Kami berterima kasih kepada pihak berkuasa yang bertindak mencegah kegiatan tidak bermoral itu diadakan di pulau ini kerana ia boleh mencemar budaya DAN menyentuh sensitiviti penduduk beragama Islam," katanya.

Pesta Pantai Bulan Purnama yang dianjurkan sebuah agensi pelancongan berpangkalan di Singapura itu, dijadualkan diadakan BERMULA semalam hingga 21 April ini.

Pihak penganjur membuat promosi di laman web dan laman sosial Facebook mengenai penganjuran pesta itu dengan mengenakan bayaran penyertaan bermula daripada AS$160.

Bagaimanapun, penganjuran itu tidak diteruskan berikutan mendapat bantahan banyak pihak, termasuk Pemuda dan Puteri UMNO Besut serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kerajaan negeri juga memberi amaran program itu tidak diteruskan atau berdepan tindakan undang-undang dan pembatalan lesen kepada pengusaha chalet di pulau itu yang didapati bersubahat.

Malam tadi, seramai 28 pegawai dan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk polis, Majlis Daerah Besut (MDB) dan Pejabat Agama Daerah Besut tiba di lokasi kira-kira jam 9.30 malam untuk memantau program terbabit.

Bagaimanapun, mereka mendapati tiada sebarang penganjuran pesta pantai berlangsung di pulau itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah, berkata pihaknya menerima lima laporan berhubung bantahan penganjuran pesta itu yang dibuat beberapa pihak termasuk Pemuda dan Puteri UMNO Besut.

"Kita pantau aktiviti sebegini dan jika benar penganjuran ini berlaku, tindakan tegas akan dikenakan kepada pihak terbabit," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan risikan dan siasatan ke atas beberapa pusat penginapan di kawasan tapak pesta.

"Setakat ini, pemilik penginapan menafikan terbabit dalam penganjuran pesta itu dan tidak mustahil ada pihak sengaja menggunakan nama beberapa chalet di kawasan itu untuk menarik perhatian orang ramai menyertainya," katanya.

95 dibaca
Berita Harian X