Selasa, 19 April 2016 | 2:41pm
IKLAN penganjuran pesta "Full Moon Beach Party" di Pulau Perhentian Kecil.

Polis pantau Pesta Full Moon

BESUT: Polis akan bekerjasama dengan beberapa agensi terbabit bagi memantau penganjuran pesta "Full Moon Beach Party" yang dijadualkan berlangsung di Pulau Perhentian, hari ini dan esok.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Khaled Che Lah, berkata sehingga kini sebanyak lima laporan berhubung penganjuran pesta itu dibuat oleh beberapa pihak termasuk Pemuda dan Puteri UMNO Besut.

"Kita pantau aktiviti sebegini dan jika benar penganjuran ini berlaku tindakan tegas akan dikenakan kepada pihak yang berkenaan," katanya kepada Bernama.

Pesta 'liar' yang didakwa akan diadakan di Long Beach, Pulau Perhentian itu dikatakan mendapat sambutan orang ramai termasuk remaja beragama Islam di pulau itu selepas penganjur membuat publisiti di dalam laman sosial Facebook dengan menawarkan pakej menarik kepada pengunjung.

Khaled dalam pada itu berkata pihaknya juga telah menjalankan risikan dan siasatan keatas beberapa buah pusat penginapan di kawasan tapak pesta.

"Setakat ini pemilik pusat penginapan tersebut tidak mengetahui penganjuran pesta berkenaan...dan tidak mustahil pihak tidak bertanggungjawab sengaja menggunakan nama beberapa chalet di kawasan berkenaan," katanya.

Difahamkan sehingga kini tiada sebarang permit dipohon bagi penganjuran pesta itu daripada Majlis Daerah Besut. - BERNAMA

74 dibaca
Berita Harian X