Khamis, 14 April 2016 | 8:02am

Weststar mula pasang Maxus G10 September ini


MUSTAPA (kanan) bersama Syed Azman pada pelancaran Maxus G10 di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Weststar Group akan memulakan program pemasangan tempatan (CKD) model kenderaan pelbagai guna (MPV) 10 tempat duduk, Maxus G10 seawal-awalnya September ini dengan sasaran eksport ke ASEAN.

Buat masa ini, pengedar eksklusif kenderaan Maxus di Malaysia itu membawa masuk secara terus model (CBU) Maxus G10 dari China ke pasaran tempatan.

Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, berkata rancangan itu akan bergantung kepada pematuhan peraturan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN yang memerlukan sekurang-kurangnya 40 peratus kandungan komponen dibina di pasaran tempatan.

Katanya, Indonesia dikenal pasti sebagai pasaran pertama eksport CKD Maxus G10, yang juga kenderaan mampu milik dihasilkan oleh gergasi automotif China, SAIC Motor Commercial Vehicle Co Ltd.

"Tahun ini, kami menjangkakan untuk menjual antara 500 hingga 1,000 unit model Maxus G10 di Malaysia, namun ia turut bergantung kepada seberapa pantas program CKD dapat dimulakan.

"Kami mendapat maklum balas sangat baik bagi model ini dengan tempahan yang diterima setakat ini mencecah 200 unit.


INDONESIA dikenal pasti sebagai pasaran pertama eksport CKD Maxus G10. - Foto Asyraf Hamzah

WESTSTAR Group menjangkakan untuk menjual antara 500 hingga 1,000 unit model Maxus G10 di Malaysia. - Foto Asyraf Hamzah

"Bagi pasaran Indonesia, kami menjangkakan angka jualan lebih tinggi iaitu sekurang-kurangnya tiga kali ganda berbanding pasaran Malaysia," katanya selepas pelancaran Maxus G10 di sini, semalam.

Pelancaran disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mengulas lanjut, Syed Azman berkata, program CKD kedua Weststar selepas model van Maxus V80 itu akan dilaksanakan melalui kontrak yang diberikan kepada syarikat pemasangan kenderaan di Kapar, Klang.

"Buat masa ini, kami tidak bercadang untuk membina kemudahan pemasangan sendiri. Syarikat itu mempunyai kapasiti memasang hingga 10,000 unit kenderaan," katanya sambil menambah model CKD akan dilengkapi spesifikasi tambahan lebih menarik berbanding model CBU.

Beliau menambah, rancangan CKD itu juga bertepatan dengan sasaran Weststar untuk meningkatkan sumbangan perniagaan automotif kepada pendapatan keseluruhan kumpulan kepada 50 peratus dalam masa tiga tahun lagi, berbanding hanya 20 peratus sekarang.

Sasaran itu dibuat berikutan suasana yang tidak menentu menyelubungi sektor yang menjadi penyumbang terbesar pendapatan kumpulan pada masa ini iaitu penerbangan.

"Sektor penerbangan bergantung kepada kontrak, sebaliknya automotif bersandarkan kepada jualan. Dalam masa sekarang ini, tidak banyak kontrak yang boleh kami bida," katanya.

Syed Azman bagaimanapun tidak menolak rancangan untuk menyenaraikan unit penerbangannya pada tahun ini, jika persekitaran semasa adalah sesuai.

INFO

Harga atas jalan Maxus G10 - RM139,888

275 dibaca
Berita Harian X