Khamis, 14 April 2016 | 12:01am

Tenaga suria ganti elektrik di Taiwan

TAIWAN kini semakin rancak membangun bukan hanya sebagai negara pengeluar peralatan komunikasi tetapi juga semakin dikenali dunia kerana penghasilan bahan berteknologi tinggi seperti panel suria.

Malah di negara itu sendiri, banyak bangunan didapati menggunakan kaedah itu sebagai sumber tenaga diperbaharui lebih murah.

Bukan setakat itu, Taiwan semakin mengorak langkah menjadi antara negara pengeluar sel dan modul suria (panel suria) bertaraf antarabangsa yang menjadi pilihan banyak negara lain di dunia.

Justeru, muncul syarikat Neo Solar Power (NSP) untuk memenuhi peningkatan permintaan yang mahukan kepakaran kepulauan kecil itu dalam memenuhi kehendak perniagaan.

Dengan visi menyediakan tenaga lebih bersih, boleh diperbaharui dan lebih menjimatkan kos, NSP diwujudkan pada Disember 2005.

Ia adalah pengeluar sel suria terkemuka dunia yang khusus dalam penyelidikan, pembuatan dan pengeluaran sel serta panel suria berkemampuan tinggi.

Berikutan penggabungan dengan syarikat DelSolar pada tahun 2013, SNP kini menjadi pengeluar sel suria terbesar negara berkenaan. Ia tersenarai sebagai antara 10 pengeluar sel suria terbesar dari segi kapasiti pada tahun 2013.


BANGUNAN NSP di Taiwan.

Dalam usaha menghasilkan produk mesra alam, NSP berikrar untuk meningkatkan kecekapan penjimatan tenaga, tanpa menggunakan bahan terlarang dan menyimpan setiap jenis tenaga.

Ia memilih secara berhati-hati bahan mentah dan pembekal bagi mengurangkan pencemaran demi mematuhi syarat pengeluar utama dunia bagi produk hijau.

Firma berkenaan pada masa sama mengelakkan sebarang risiko membabitkan nyawa dan kehidupan dengan memperkenalkan Sistem Pengurusan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan bagi memantau sebarang kemungkinan bahaya dan risiko di tempat kerja.

Selain itu, ia turut menjalankan aktiviti mempromosi kesihatan bagi memastikan semua pekerja, kontraktor, tetamu dan kakitangan bekerja dengan gembira tanpa bimbang mengenai tahap kesihatan mereka.


STADIUM Kebangsaan Taiwan berbentuk naga yang menggunakan tenaga solar sepenuhnya.

Sebagai pengasas dalam penggabungan disiplin pengeluaran dan pembangunan teknologi suria berpengalaman, NSP menyasarkan untuk terus menjadi peneraju dalam menukar tenaga photovoltaic (PV) (berasaskan cahaya matahari) kepada sumber tenaga berdaya saing dan berpanjangan untuk kegunaan manusia sejagat.

Secara umum, NSP menghasilkan dua produk iaitu sel suria dan panel suria. Sel suria mempunyai ciri berkualiti tinggi, prestasi cemerlang dan boleh dipercayai.

Ia mempunyai pelbagai faedah seperti kadar kehilangan kuasa yang rendah, boleh menyerap kebanyakan tenaga suria dan memindahkannya menjadi tenaga elektrik serta kadar keretakan rendah dan produk mesra alam.

Sementara panel suria dibuktikan menerusi anugerah antarabangsa, didefinisikan dengan kecemerlangan dan kualiti unggul.

Info:

Tenaga suria adalah kaedah memindahkan cahaya matahari kepada elektrik, sama ada secara langsung menggunakan PV atau tidak langsung menggunakan kuasa suria padu (CSP).

CSP menggunakan lensa atau cermin dan sistem pengesanan untuk memberi tumpuan kepada kawasan cahaya matahari lebih luas kepada saluran kecil. Sementara PV memindahkan cahaya kepada elektrik menggunakan kesan PV.

Kenyataan Agensi Tenaga Antarabangsa pada tahun 2014 menyebut, senario 'tenaga boleh diperbaharui', menjelang 2050, PV dan CSP menyumbang kira-kira 16 dan 11 peratus, penggunaan tenaga elektrik seluruh dunia.

PV pada awalnya digunakan sebagai sumber elektrik bagi premis kecil dan sederhana, daripada kalkulator yang digerakkan dengan sel suria tunggal kepada rumah bergerak yang dikuasakan dengan sistem bumbung PV.

Dengan kadar kos elektrik suria menurun, bilangan sistem solar PV bertambah, menyebabkan pertambahan stesen kuasa dengan ratusan megawatt dibina.

Loji kuasa solar CSP mula dibina pada tahun 1980 an dan loji terbesar terletak di Mojave, California.

68 dibaca
Berita Harian X