Khamis, 7 April 2016 | 12:41pm

Dua beradik rentung: Semuanya umpama mimpi - Ibu


Kebakaran dua beradik rentung selepas rumah keluarga mereka terbakar awal pagi tadi di Kampung Batu 4, Ijok. - Foto ihsan Bomba

BESTARI JAYA: Ibu kepada mangsa dua beradik yang rentung dalam kebakaran yang memusnahkan kediaman mereka di Kampung Batu 4, Ijok dekat sini, pagi tadi, seperti tidak percaya kejadian itu meragut nyawa dua anak kesayangannya.

Zuriyana Marjunit, 40, berkata, beliau tidak pasti bila kebakaran itu bermula namun hanya menyedarinya ketika bangun untuk ke bilik mandi.

"Saya terdengar jeritan anak sulung saya Muhammad Darnish Irfan Muhd Azmi, menjerit-jerit memanggil saya meminta tolong. Ketika itu api sudah marak di bahagian tengah rumah, malah saya tidak mampu bergerak ke pintu bilik anak saya untuk membukanya.  

"Saya kemudian menggerakkan ibu saya dan membawanya keluar sebelum saya ke pintu hadapan rumah untuk cuba membukanya dari luar tetapi api semakin marak dan terdengar beberapa letupan kecil di situ.

"Terpaksalah saya beralah dan tidak boleh berbuat apa-apa, hanya mengharapkan pihak bomba yang dihubungi jiran untuk memadamkan api," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Tanjong Karang (HTK) pagi tadi.   

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, dua anak beradik, Muhammad Darnish Irfan, 15, dan adiknya, Muhammad Darnish Israk, 14, rentung selepas gagal keluar dari bilik tidur mereka yang terbakar.   

Mayat kedua-dua remaja itu ditemui pasukan Bomba dan Penyelamat selepas kebakaran berjaya dipadamkan dalam kira-kira jam 5.20 dan 5.40 pagi.   

"Saya masih tidak percaya apa yang berlaku sehingga saat ini, semuanya umpama mimpi malam tadi. Mujurlah ada keluarga dan jiran tetangga yang membantu menenangkan perasaan saya.   

"Apa tidaknya, kedua-dua anak saya hasil perkongsian hidup bersama bekas suami lebih 15 tahun lalu hilang sekelip mata," katanya. 

Zuriyana yang bekerja di sebuah kilang automotif berpisah dengan bekas suaminya yang hanya dikenali sebagai Muhd Azmi, 37, lebih 13 tahun lalu dan sejak itu tidak dapat menghubungi lelaki itu.   

Katanya, beliau berharap siaran akhbar mengenai kebakaran yang berlaku dibaca bekas suami supaya dapat memaklumkan kematian anak mereka.

1271 dibaca
Berita Harian X