Rabu, 23 March 2016 | 8:53pm

Timbalan Pengarah SPR Pulau Pinang maut nahas motosikal


Timbalan Pengarah (Bahagian Pengurusan) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang, Rizal Khamis.

SUBANG JAYA: Timbalan Pengarah (Bahagian Pengurusan) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabas di Kilometer 11 Lebuh Raya Elite dari arah KLIA ke USJ di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian itu jam 12.25 tengah malam, Rizal Khamis, 44, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan serta putus kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum motosikalnya terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di kiri jalan.

"Akibat rempuhan itu, kaki kanan mangsa terputus dipercayai terkena besi penghadang jalan dan terpelanting kira-kira 25 meter daripada badan mangsa.

"Motosikal mangsa pula terseret 200 meter ke hadapan dari lokasi utama kemalangan berlaku," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammad Azlin berkata, jenazah mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya lagi, orang ramai yang terlihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 03-78627222.

432 dibaca
Berita Harian X