;
Rabu, 23 March 2016 | 12:07am

Karya fiksyen sains masih mencari arah di Malaysia

SEJAK penemuan gelombang gravitasi (gravitational wave) oleh kumpulan saintis dari LIGO (The Laser Interferometer Gravitational-Wave Observatory ) yang membenarkan ramalan yang dihasilkan oleh Albert Einstein kira-kira 100 tahun lalu, dapat dilihat yang minat masyarakat Malaysia kepada sains, masih lagi tinggi.

Jumlah video dan artikel yang dikongsi menerusi media sosial mengenai penemuan ini mencerminkan yang minat terhadap sains tidak pernah padam.

Tambah membanggakan apabila seorang daripada penyelidik yang terbabit dalam penemuan terhebat abad ini adalah seorang pelajar peringkat Doktor Falsafah dari Malaysia, yang sedang melanjutkan pelajaran di luar negara.

Heboh di dalam media cetak, diberitakan yang minat pelajar sekolah menengah terhadap sains semakin menurun.

Statistik yang bersumberkan Kementerian Pelajaran memperlihatkan yang peratusan pelajar yang mengambil aliran sains menurun tahun demi tahun.

Apakah cara untuk meningkatkan minat pelajar dalam bidang Sains? Pelbagai cara digunakan untuk meningkatkan minat pelajar dan salah satunya adalah melalui novel atau cerpen bercorak sains fiksyen.

Perkembangan Novel Fiksyen Sains

Berbanding dengan novel dalam genre yang lain, fiksyen sains adalah novel yang paling kurang dihasilkan oleh penulis Malaysia.Ini bukanlah fenomena yang pelik tetapi fenomena ini adalah bersifat global. Jika adapun, novel tersebut dihasilkan oleh penulis yang bukan pakar dalam bidang sains dan amat jarang sekali dijumpai penulis yang berlatarbelakangkan sains menulis.

Fiksyen sains di Malaysia juga dikelaskan sebagai buku cerita untuk kanak-kanak dan mencari novel fiskyen sains yang dapat memenuhi minat pembaca remaja dan belia adalah sukar.

Nama yang paling dikenali dalam penulisan fiksyen sains di dunia adalah H.G Well. Beliau berkelulusan dari Royal College of Science dalam bidang Zoologi dan juga dikenali sebagai Bapa Fiksyen Sains.

Beliau pernah tercalon untuk anugerah Nobel sebanyak empat kali. Novel-novel beliau seperti The Time Machine(1895) ,Invisible Man(1897) dan War Of the World(1898) sudah berkali-kali difilemkan sejak zaman berzaman.

Malahan boleh dikatakan yang beliaulah orang yang mula-mula mempopularkan cerita pengembaraan merentas masa, peperangan makhluk asing dan orang halimunan pada zaman awal 1900an.

Watak-watak seakan - akan yang beliau cipta dalam novel banyak digunakan oleh penulis fiksyen sains di seluruh dunia tetapi menggunakan jalan cerita dan watak yang berbeza.

Dalam buku The Time Machine, H.G Well membayangkan mengenai dimensi ke empat iaitu masa yang membolehkan manusia mengembara samaada ke masa lampau ataupun ke masa hadapan.

Penciptaan mesin masa membolehkan watak utama dalam fiksyen itu mengembara ke masa hadapan dan kembali semula ke zaman asalnya. War Of the World pula mencipta kelainan dan kehebatan tersendiri.

Pada tahun 1938, drama radio yang bersumberkan cerita ini pernah mencetuskan panik kerana persepsi orang ramai yang mempercayai bahawa cerita yang disampaikan oleh juruhebah radio mengenai penaklukan mahkluk asing dari Marikh adalah benar kerana penceritaan yang dramatik.

Tambah menarik, Robert Godddard (profesor fizik dan pencipta) yang terinpirasi dengan novel ini telah mencipta roket cecair pertama di dunia yang menjadi asas dalam pembinaan roket moden yang digunakan untuk pelancaran roket ke angkasa lepas.

Begitulah hebatnya novel fiksyen sains yang telah memberi sumbangan secara tidak langsung dalam perkembangan bidang sains dan teknologi dengan menginpirasikan saintis untuk menghasilkan barang-barang yang terdapat dalam novel fiksyen.

Di Malaysia, Rahmat Harun adalah antara penulis fiskyen sains yang terkenal dengan novel seperti Di.Ar.Ti (1989) dan Panggil Aku Melaju (2005) yang mempunyai peminat tersendiri. Melalui novel ini, Rahmat Haroun yang juga seorang doktor perubatan menggunakan ilmu pengetahuannya dalam bidang sains untuk menulis karya terbabit.

Filem Fiksyen Sains

Selepas novel, filem yang berdasarkan novel fiksyen sains juga dapat membantu menambahkan minat kepada sains. Sudah menjadi tradisi bagi filem Hollywood untuk mengambil novel yang laris untuk dijadikan filem.

Novel popular seperti The Hunger Games, The Maze Runner dan The Martian adalah contoh novel yang telah difilemkan. Dengan kehebatan teknologi kesan khas Hollywood, filem ini kelihatan hidup dan tidak lari dari tema fiksyen sains.

Dari filem yang disebutkan sebelum ini, The Martian adalah novel yang padat dengan fakta sains di mana filem ini menonjolkan cara untuk terus hidup jika terdampar di planet asing. Penulis novel ini, Andy Weir adalah bekas pelajar dalam bidang sains komputer dan dalam menghasilkan novel The Martian, beliau mengkaji dan meneliti maklumat saintifik sebaik mungkin.

Begitu juga dengan untuk filem Interstellar, penulis skrip Jonathan Nolan menghabiskan hampir 4 tahun untuk mempelajari sains angkasa dan relativiti di universiti bagi menyiapkan penulisan skrip untuk filem tersebut.

Di Malaysia, teknologi kesan khas adalah sangat mahal, membuatkan filem bercorak fiksyen sains tidak berkembang maju. Filem yang paling diingati adalah XX Ray(1992). Lebih 20 tahun kemudian, masih tiada lagi filem fiksyen sains yang dapat menapak di minda hati rakyat Malaysia.

Penulisan Buku Fiksyen Sains

Seperti yang dijelaskan di atas, penulisan fiksyen sains bukanlah mudah. Ciri-ciri teknikal yang ada dalam novel genre ini menyebabkan lebih ramai penulis memilih fiksyen yang lebih mudah dan dekat di hati pembaca.

Pasaran buku fiksyen sains yang tidak meluas juga menyebabkan kekurangan penulis dalam genre ini. Bagi kalangan yang berpendidikan sains, mereka lebih suka menulis kertas kerja, jurnal atau buku akademik dari meluangkan masa untuk menghasilkan buku-buku novel atau cerpen.

Jika ada minat dalam penulisan sekalipun, kekurangan ilmu dalam menghasilkan naratif penceritaan yang dapat menarik minat pembaca menjadi masalah bagi para saintis untuk menghasilkan novel atau cerpen.

Dalam menarik minat untuk penulis dan para saintis menulis buku fiksyen sains, pihak universiti dan penerbitan ada mengadakan sayembara penulisan fiksyen sains tetapi tetap gagal untuk menarik kalangan saintis untuk menulis.

Rata-rata rakyat berpendapat yang sains dan sastera adalah seperti langit dan bumi iaitu berbeza antara satu sama lain dan tidak mungkin bertemu.

Ini mungkin adalah penyebab ramai graduan sains atau ahli sains yang tidak mahu berjinak-jinak dalam penulisan sastera fiksyen bercorak sains atau genre lain. Takut jatuh dari singgahsana yang kononnya pelajar sastera adalah dari golongan yang kurang cerdik berbanding lepasan sains.

Sasterawan Negara, Prof Mohammad Haji Salleh, pernah menyuarakan dalam bukunya Sastera Sebagai Ruang Bangsa, yang sains dan teknologi menyebabkan permata sastera jatuh ke lembah.

Beliau juga berkata yang dengan sastera, kita menjadi manusia yang berfikir, pecinta yang halus dan tukang bahasa yang teliti. Sebelum manusia mula menggunakan bintang sebagai penunjuk arah, manusia mulanya mengagumi kecantikan bintang yang bersinar dalam malam. Begitulah sastera dan sains.

Ahli sains mungkin boleh mencuba cara Michio Kaku yang mempopularkan sains melalui bukunya yang lebih ringan dan santai.

Buku beliau mungkin bukanlah sebuah novel fiksyen sains tetapi gaya penulisannya yang mampu menarik minat orang ramai dan menggunakan bahasa yang agak mudah difahami oleh ramai menjadikan buku-buku beliau terjual laris.

Sebagai contoh beliau meramalkan mengenai teknologi kereta tanpa pemandu yang dapat mengesan bahaya di sekeliling dalam buku Physic Of The Future.

Seperti fiksyen sains bukan? Bezanya Michio Kaku adalah seorang profesor fizik dan beliau meramalkan teknologi ini berdasarkan ilmu yang beliau ada dan perkembangan yang terjadi dalam dunia sains dan teknologi.

Sebagai permulaan, ahli sains boleh menulis cerpen untuk mengasah bakat mereka dalam penulisan. Apa yang penting adalah jangan berhenti menulis.

Mohd Hasnul Mohd Sani adalah pemegang Sarjana Muda Kimia Analisis

338 dibaca
Berita Harian X