Ahad, 20 March 2016 | 12:04am

Membelai, bermesra dengan gajah di Kuala Gandah


PENGUNJUNG memberi makanan kepada gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang. - Foto Matzidi Dris

TIDAK perlu pergi ke Thailand atau ke luar negara semata-mata mahu membelai dan bermesra dengan gajah.

Jika anda berminat, impian itu boleh dicapai dengan mengunjungi Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Di tempat ini, anda boleh menyentuh, memberi makan, malahan kalau bernasib baik dapat memandikan anak gajah di sungai oleh lima pelatihnya.

Pengalaman seperti ini membuatkan penulis terfikir, tidak perlulah bersusah payah hendak ke Thailand kerana apa yang dilalui di Kuala Gandah sudah cukup menyeronokkan.


PELATIH memandikan gajah di sungai. - Foto Matzidi Dris

Tambahan pula, di pusat ini, kita juga berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat gajah Malaysia serta mempelajari sifat haiwan berbadan besar itu.

Penulis bersama sekeluarga tiba sekitar jam 9.30 pagi, menjadi antara pengunjung terawal ke pusat ini. Kami kemudian ke kaunter pendaftaran PKGK, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk mendapatkan pas masuk.

Tiga anak lelaki penulis seperti tidak sabar untuk menyentuh belalai gajah di situ, pengalaman pertama bagi mereka untuk berada lebih dekat dengan haiwan ini.

Selepas melalui pintu masuk dan pemeriksaan pengawal, di sebuah jambatan besi yang merentasi sebatang sungai, kami singgah di kafe yang berhampiran.

Pemilik kafe memaklumkan kami adalah pelanggan pertama mereka pada pagi itu.

Pengunjung datang awal


PENGUNJUNG di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang. - Foto Matzidi Dris

Ketika menikmati juadah sarapan, jumlah pengunjung yang masuk semakin bertambah, kebanyakan datang dengan keluarga dan anak-anak kecil. Ada juga yang datang berpasangan, berkumpulan antara lima hingga lapan orang. Mereka turut singgah di kafe itu untuk minum pagi selepas memandu jauh.

Jarak pusat itu yang terletak di Bukit Rengit dengan pekan Lanchang hanya 14 kilometer (km) atau kira-kira 35 km dari bandar Temerloh.

Kalau dari Kuala Lumpur, ikut Lebuhraya Karak, kita akan melalui Kampung Karak sepanjang perjalanan menuju ke Lanchang.

Tiba di Lancang, kita dapat melihat stesen minyak dan kemudian ikut papan tanda jalan menuju ke Kampung Bolok.

Perjalanan ini dari Kuala Lumpur sejauh kira-kira 160 km mengambil masa antara dua hingga dua setengah jam.

Berbeza dengan zoo


PUSAT Konservasi Gajah Kebangsaan sangat berbeza daripada zoo kerana di sini pelawat boleh menyentuh gajah secara langsung. - Foto Matzidi Dris

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan sangat berbeza daripada zoo kerana di sini pelawat boleh menyentuh secara langsung, memberi makan dan memandikan haiwan besar ini.

Memandu menuju ke PKGK sedikit mencabar kerana selain turun naik bukit banyak kenderaan melalui jalan itu. Jalan yang sempit, menyebabkan perjalanan agak sukar apabila berselisih dengan lori dan bas yang membawa rombongan.

Ini kerana PKGK antara destinasi eko-pelancongan yang menjadi perhatian dunia. Cerita mengenai PKGK pernah disiarkan di saluran dokumentari, National Geographic.

Pemudah Cara Persembahan, PKGK, Rasli Othman, 56, berkata sejak lima tahun lalu, pusat itu sesak dengan pengunjung setiap kali cuti umum seperti Tahun Baharu Cina.


PEMUDAH Cara Persembahan, PKGK, Rasli Othman. - Foto Matzidi Dris

Beliau berkata, pusat itu pernah menerima lebih 5,000 pengunjung pada Tahun Baharu Cina 2013, menyebabkan tempat letak kereta dan kawasan berhampiran sangat sesak.

Ramai pelawat sanggup meletak kereta di kiri kanan jalan sehingga ke perkampungan Orang Asli dan kemudian berjalan kaki lebih satu kilometer untuk masuk ke situ.

Biasanya pusat ini akan penuh sesak sebelum jam 2 petang, kerana pada waktu itu pengunjung peluang bermesra dengan gajah.

Mereka yang datang terlalu awal atau lewat petang, hanya akan dapat melihat gajah dalam kawasan berpagar namun mereka boleh melihat video dokumentari," katanya.

Rasli yang sudah lapan tahun bertugas di pusat konservasi ini berkata, pengunjung dibenarkan memberi makanan seperti kacang tanah, tebu dan buah betik kepada gajah.

Bagaimanapun, katanya, semua aktiviti ini hanya dilakukan apabila mood gajah berada dalam keadaan baik.

"Jika gajah kelihatan kurang selesa, kita elakkan aktiviti seperti itu atas faktor keselamatan," katanya.

Tangkap dan pindah


PERHILITAN Perak dibantu Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah memindahkan seekor gajah jantan yang berusia 15 hingga 20 tahun di Kampung Luat, Lenggong. - Foto Muhaizan Yahya

Fungsi Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah adalah menangkap dan memindahkan gajah liar yang habitatnya diterokai oleh pembangunan.

Gajah liar itu ditempatkan semula ke kawasan perlindungan seperti Taman Negara.

Selain berfungsi sebagai ibu pejabat untuk Unit Gajah, pusat ini juga adalah tempat perlindungan bagi gajah denak dan gajah liar yang memerlukan rawatan.

Pusat ini juga memelihara anak gajah yang ditinggalkan oleh kumpulan dan ibu mereka.

Sejak ditubuhkan pada 1974, hampir 800 gajah liar ditangkap dan dipindahkan daripada kawasan konflik gajah ke habitat semula jadi yang selamat untuk kumpulan haiwan berkenaan termasuk di Taman Negara, Hutan Simpan Royal Belum, Taman Negara Endau Rompin dan Santuari Gajah Sungai Ketiar.

Proses pemindahan ini bertujuan untuk meminimumkan risiko kepupusan spesies ini serta kerosakan harta benda dan kawasan pertanian.

Populasi gajah paling tinggi adalah di Taman Negara, dianggarkan 290 hingga 631 ekor. Anggaran ini berdasarkan kajian bersama Wildlife Conservation Society (WCS) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dan pencerapan PERHILITAN, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menerusi aktiviti inventori hidupan liar yang dijalankan secara berjadual.

331 dibaca
Berita Harian X