Khamis, 17 March 2016 | 12:38pm
Empangan Ubonrat

Thailand pam air empangan kurangkan kesan kemarau

BANGKOK: Jabatan Pengairan Diraja (RID) memutuskan untuk menggunakan 'simpanan kekal' Empangan Ubonrat iaitu air yang hanya boleh dipam keluar, untuk membantu penduduk di Khon Kaen dan wilayah berhampiran menghadapi krisis kemarau.

Empangan ini kini mengandungi hanya 32 juta meter padu air yang boleh disalirkan, iaitu satu peratus daripada kapasiti sebenarnya.

Pihak berkuasa berkaitan sedaya upaya mengurangkan kesan akibat kemarau ke atas penduduk, terutama membabitkan penggunaan air.

Pengarah Urusan RID, Suthep Noipairoj, berkata Empangan Ubolrat kini sudah melepas 500,000 meter padu air sehari untuk kegunaan tempatan dan mengekalkan keseimbangan ekologi.

"Kami sudah mula menghentikan pengagihan air dari empangan itu untuk tujuan penternakan," katanya sambil menggesa orang ramai lebih berjimat menggunakan air.

"Kita mungkin perlu menggunakan simpanan kecemasan itu tidak lama lagi. Ia sepatutnya membuatkan kita untuk lebih berjimat bagi memastikan bekalan air mencukupi sehingga Julai," katanya.

Walau musim hujan lazimnya bermula pada Mei, setengah pakar khuatir musim hujan tahun ini mungkin lewat berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Suthep, empat empangan utama di kawasan tadahan Sungai Chao Phraya seperti Bhumibol, Sirikit, Kwai Noi dan Pasak Jolasid akan dapat menyediakan sumber air untuk kegunaan umum. - Agensi

107 dibaca
Berita Harian X