Ahad, 13 March 2016 | 1:23pm

Giliran Muguruza, Carla Navarro bungkus awal


GARBINE Muguruza. - Foto AFP

INDIAN WELLS: Juara Terbuka Australia Angelique Kerber, pilihan keempat Garbine Muguruza dan bintang Sepanyol Carla Suarez Navarro, kesemuanya tersingkir di pusingan kedua Indian Wells, kelmarin.

Pemain nombor dua dunia dan pilihan kedua, Kerber tersingkir di kejohanan bersama WTA dan ATP itu, tewas 7-5, 7-5 kepada pemain Republik Czech, Denisa Allertova.

Bekas finalis Wimbledon, Muguruza turut dikecewakan pemain Amerika Christina McHale 7-5, 6-1 manakala pilihan keenam Suarez Navarro menarik diri daripada kejohanan selepas cedera buku lali kanan sebelum perlawanan berdepan Daria Kasatkina.

Kerber menewaskan Serena Williams di pentas final Terbuka Australia Januari lalu untuk meraih kemenangan Grand Slam pertama dalam kariernya.

Namun masalah utama membelenggu Kerber dalam Jelajah WTA adalah tahap konsisten. Dia bermain di tahap terbaik di Australia namun kemudian tewas dalam perlawanan pertamanya di Doha.

Ini adalah kekalahan ketiga berturut-turut dalam perlawanan pembukaannya di Indian Wells.

"Sekiranya kamu tewas di pusingan pertama, kamu tahu yang pada minggu depannya keadaan akan menjadi lebih baik," katanya.

"Saya mencapai sasaran untuk memenangi Grand Slam. Tiada siapa yang mampu mengambilnya daripada saya."

Pemain berusia 28 tahun dari Jerman itu berkata, sandaran terhadap dirinya kini lebih besar selepas mengecap kejayaan di Australia.

"Tekanan dihadapi berbeza sekiranya dibandingkan dengan beberapa bulan lalu," katanya. "Saya akan cuba belajar daripada pengalaman ini. Minggu yang sibuk buat saya. Ia situasi yang baharu buat saya dan saya perlu membiasakan diri dengannya." - AFP

113 dibaca
Berita Harian X