Khamis, 10 March 2016 | 12:09am

Enam beradik piatu enggan dipisahkan


KUALA LUMPUR: "Ibu sudah tak ada lagi. Tetapi ibu pesan, jangan serah adik kepada orang lain dan jagalah mereka sebaik mungkin. Jadi, saya perlu tunaikan amanah ini walaupun hidup dalam serba kekurangan."

Begitu kata remaja lembam, Muhammad Hafiz Mohd Zamzuri, 16, yang kini bersama lima lagi adik-beradiknya ditempatkan di Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim

di Greenwood, Gombak.

Keenam-enam beradik itu baharu enam hari menjadi penghuni di rumah kebajikan itu.

Muhammad Hafiz dan abangnya, Muhammad Mustaqim, 17, serta empat adik yang lain iaitu Nur Sitilailatulsinar, 14, Nurul Ain Natasya, 11; Nurul Iman, 10, dan Nurul Hidayah, 7, harus terima hakikat, insan mereka sayangi sudah pergi untuk selama-lamanya.


(DARI kanan) Muhammad Mustaqim, Muhammad Hafiz, Nur Sitilailatulsinar, Nurul Ain Natasya, Nurul Iman dan Nurul Hidayah. - Foto Shiraz Ali

Walaupun berat hati meninggalkan rumah yang selama ini menjadi tempat mereka sekeluarga berteduh, keenam-enam beradik itu terpaksa menuruti wasiat arwah ibu yang mahukan mereka semua tinggal di rumah kebajikan, sekiranya berlaku apa-apa kepadanya.

Muhammad Hafiz berkata, itulah pesanan terakhir arwah ibu, Noor Suriyanti Mohd Nor, sebelum disahkan meninggal dunia akibat terjatuh dan diserang penyakit jantung, akhir Februari lalu. 

Kebetulan, bapa saudara mereka bekerja sebagai pembantu di rumah kebajikan berkenaan.

Belas ihsan saudara-mara


MUHAMMAD Hafiz Mohd Zamzuri, 16. - Foto Shiraz Ali

Namun, sebelum ditempatkan di rumah kebajikan itu, Muhammad Hafiz yang menghadapi masalah pembelajaran terpaksa memikul tugas sementara sebagai ketua keluarga, termasuk menjaga abang sulungnya, Muhammad Mustaqim dan adik perempuan, Nur Sitilailatusinar, mengalami masalah sama sepertinya.

Muhammad Hafiz kini belajar di Sekolah Kebangsaan Selayang Jaya (SKSJ) menerusi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), berkata beliau dan adik-beradiknya tidak mahu berpisah antara satu sama lain.

Pasrah dan perlu memastikan kehidupan terus terbela, Muhammad Hafiz berkata, dirinya harus tabah meskipun mereka enam beradik tiada lagi tempat bermanja serta amat merindui arwah ibu.

Lebih parah, mereka tidak dapat kasih sayang daripada bapa selepas bercerai dengan arwah ibu. Justeru, sebelum tinggal di rumah kebajikan semua perbelanjaan termasuk urusan pembayaran bil tertunggak, pengendalian rumah dan penjagaan terpaksa ditanggung atas belas ihsan saudara-mara.

Muhammad Hafiz yang juga anak kedua dalam keluarga, berkata ketika itu beliau hanya mampu mengharapkan bantuan daripada ibu saudara dan juga menumpang di rumah datuk yang sudah uzur di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu.

"Selepas pemergian ibu, kami hidup dengan bergantung kepada duit simpanan ditinggalkan ibu dan dana dari Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (WITUS) pernah disertai arwah ibu.

"Ketika itu, banyak perkara terlintas dalam pemikiran ini dan lebih risau, sama ada wang yang ada cukup atau tidak untuk membeli makan minum kami adik beradik. Saya juga risau kiranya kami adik-beradik dipisahkan, tambahan pula saya sendiri OKU dan adik bongsu masih kecil," katanya menahan sebak.

Abang hilang


MUHAMMAD Mustaqim, 17. - Foto Shiraz Ali

Beberapa hari selepas kematian ibu mereka, katanya mereka adik-beradik digemparkan dengan insiden kehilangan Muhammad Mustaqim selepas remaja itu hilang selama tujuh jam ketika pergi ke Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di Jalan Tun Razak, bersama ibu saudara mereka untuk menguruskan akaun arwah ibu.

Katanya, pada hari kejadian, Muhammad Mustaqim dibawa ibu saudaranya ke TH bagi menguruskan akaun arwah ibu memandangkan rumah dan simpanan diletakkan atas namanya.

"Sementara menunggu, dia tertidur di kerusi dan ibu saudara membiarkannya dan menyambung urusan lain. Namun, selepas selesai ibu saudara mendapati abang sudah tiada di situ dan apabila ditanya kepada orang ramai mereka nampak Muhammad Mustakim sudah keluar daripada bangunan itu.

"Puas mencari akhirnya sekitar jam 7.30 malam abang berpeluh-peluh berjalan kaki pulang ke rumah dari TH kerana dia jangka sudah ditinggalkan ibu saudara di premis itu apabila terjaga daripada tidur," katanya.

Mahu kehidupan sempurna


ENAM beradik termasuk tiga OKU kini hilang tempat bergantung selepas kematian ibu mereka akibat terjatuh dan serangan jantung. - Foto Shiraz Ali

Muhammad Hafiz berkata, sejak dulu kehidupan keluarganya kurang sempurna kerana pendapatan ibu tidak banyak tetapi hanya bergantung kepada jualan kuih dan lauk tengah hari di tepi jalan sekadar cukup digunakan untuk perbelanjaan adik dan barang dapur.

Lebih menyulitkan keadaan apabila rumah peninggalan arwah ibu di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu, mempunyai tunggakan bil elektrik dan air tinggi perlu dilunaskan selain keadaan rumah tidak terurus.

"Wang simpanan RM2,000 ditinggalkan ibu, tidak dapat menampung keperluan persekolahan dan harian kami kerana ibu sudah lama tidak mempunyai pekerjaan tetap dan ayah pula tidak pernah memberi duit.

"Segala perbelanjaan harian, keperluan keluarga dan persekolahan kami ditampung ibu malah ayah langsung tidak pernah mengambil berat tentang kami," katanya memandang sayu pada adik beradik lain.

Pastikan tidak tercicir pelajaran

Muhammad Hafiz berkata, ketika ibu masih ada, beliau sering membantu ibu membuat kuih-muih seperti donut, popiah goreng dan lauk-pauk untuk dijual pada waktu pagi dan tengah hari di bawah blok perumahan berdekatan tempat tinggal.

Merindui masakan ibunya terutama asam pedas, katanya arwah ibunya ringan tulang dan penyabar, namun tegas berkaitan dengan pembelajaran mereka adik-beradik.

"Setiap hari ibu akan bangun seawal empat pagi untuk siapkan barang-barang untuk berniaga di bawah rumah dan jika tidak pulang ke asrama saya akan bantu ibu apa yang mampu.

"Ibu tidak pernah mengeluh dengan kesusahan hidup, sebaliknya akan cuba sediakan keperluan kami adik beradik biarpun ibu sendiri dalam kesusahan. Wajahnya sentiasa terukir senyuman sungguhpun berdepan dengan pelbagai masalah. Ibu sering nasihat kami adik-beradik belajar bersungguh-sungguh agar berjaya," katanya sambil melihat gambar arwah ibunya.

Muhammad Hafiz berkata, selepas kematian ibu, beliau dan adik-beradik bagaikan hilang arah.

"Sebelum ini, kami bergilir-gilir tumpang di rumah datuk dan nenek yang sudah tidak boleh bercakap dan uzur. Kami turut pernah menumpang di rumah ibu saudara dan anaknya tinggal berhampiran dengan rumah.

Kasih sayang daripada ibu saudara tidak berbelah bahagi. Makan minum kami juga terjaga.

"Namun, kami berasa amat kesepian dan perlukan kekuatan untuk mengharungi kehidupan ini tanpa adanya tempat bergantung dan berkongsi kasih dan sayang selepas arwah ibu pergi buat selama-lamanya," katanya.

Ambil jadi anak angkat


PRESIDEN WITUS, Sheila Tukimin bergambar bersama enam beradik yang kini hilang tempat bergantung selepas kematian ibu mereka akibat terjatuh dan serangan jantung. - Foto Shiraz Ali

Sementara itu, Presiden WITUS, Sheila Tukimin, berkata pihaknya akan berusaha menjaga kebajikan Muhammad Hafiz dan adik-adiknya.

"Saya bercadang menjadikan mereka sebagai anak angkat WITUS dan akan menghulurkan bantuan sewajarnya. Kami menarik nafas lega kerana mengetahui mereka selamat dan terurus berada di bawah jagaan rumah kebajikan.

"Mereka ibarat anak kandung kami. Ketika arwah ibu mereka masih ada beliau adalah seorang wanita yang tabah dan tidak pernah mahu menyusahkan ahli lain dengan masalah hidup lebih lagi soal kewangan," katanya.

684 dibaca
Berita Harian X