Ahad, 6 March 2016 | 4:11pm

Filem Munafik dapat sambutan penonton bukan Islam


SYAMSUL dan pelakon utama filem Munafik, Nabila Huda. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Laris bagai pisang goreng panas.

Begitulah sambutan yang dilihat terhadap filem genre seram yang sarat dengan elemen Islamik, Munafik, sejak ditayangkan di seluruh negara pada 25 Februari lalu.

Sambutan hangat peminat itu memungkinkan buah tangan terbaharu pengarahnya, Syamsul Yusof menghampiri kutipan RM10 juta dalam tempoh dua minggu tayangan.

Pada tahun 2011, filem Khurafat garapan Syamsul memungut RM7.9 juta.

Teruja dengan reaksi peminat, Syamsul memuat naik gambar yang memaparkan penonton berbilang kaum berpusu-pusu di kaunter tiket untuk menyaksikan filem Munafik.

Syamsul juga berkongsi status seorang pengguna laman sosial yang dipercayai berdarah campuran Cina dan Thailand yang menceritakan pengalaman menonton filem berkenaan.

Antara komen yang ditulis dalam bahasa Thailand dan Inggeris berbunyi:

"Munafik, filem seram Melayu terbaik yang pernah saya tonton dan saya satu-satunya penonton Cina dalam pawagam sekarang.

"Syamsul Yusof sudah membuktikan dia adalah pengarah filem seram terbaik buat masa ini yang mampu mencipta penjenamaan tersendiri menerusi filem Munafik.

"Saya beri tepukan besar dan penghargaan buat Munafik apabila mampu membuatkan kita melompat dan menjerit ketakutan yang ekstrem."

Selain Syamsul, Munafik dibintangi Nabila Huda, Datuk Rahim Razali, Pekin Ibrahim, Fizz Fairuz, A Galak dan Sabrina Ali.

375 dibaca
Berita Harian X