Selasa, 1 March 2016 | 10:06am
GAMBAR hiasan. - Sumber iol.co.za

Sekolah yang dikatakan terima penghidap AIDS diboikot

COLOMBO: Ibu bapa di sebuah sekolah di Sri Lanka membawa pulang anak-anak mereka selepas khabar angin tersebar mengenai seorang murid baharu berusia enam tahun adalah HIV-positif, kata seorang pegawai.

Mereka turut melancarkan protes di luar Sekolah Rendah Sambodi di timur laut Colombo berikutan kemasukan kanak-kanak itu selepas hadir ke kelas pertamanya, kata pegawai itu.

"Ibu bapa tidak mahu anak-anak mereka berada di sekolah yang sama dengan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ini," kata pengarah pendidikan serantau, Saman Wijesekera kepada AFP.

Sri Lanka mempunyai program kesedaran HIV/AIDS kebangsaan tetapi pemahaman penyakit ini dan bagaimana ia merebak masih rendah, menyebabkan stigma dan diskriminasi terhadap penghidap masih tinggi.

Insiden boikot di sekolah dengan 179 pelajar itu tamparan terbaru buat kanak-kanak dan ibunya, yang berusaha sejak tahun lalu untuk menempatkan beliau di sekolah.

Beliau berkata, beberapa sekolah menolak anaknya selepas khabar angin di kampung mengatakan suaminya meninggal dunia akibat AIDS. Beliau sebenarnya meninggal dunia akibat batuk kering dan kegagalan buah pinggang.

Guru besar sekolah itu bersetuju minggu lalu untuk menempatkan kanak-kanak itu selepas campur tangan pihak berkuasa, katanya kepada AFP.

"Hanya selepas saya mengadu kepada agensi perlindungan kanak-kanak, menyebabkan mereka campur tangan dan mendapat peluang ke sekolah ini," katanya.

Beliau berkata peguam sudah memfailkan kes itu di Mahkamah Agung bagi menuntut pampasan akibat trauma ke atasnya dan anak.

Ibu yang hanya bekerja sebagai buruh itu berkata, akibat khabar angin dan liputan media mengenai pemulauan anaknya, beliau sukar mendapat kerja di kampung. - Agensi

51 dibaca
Berita Harian X