Jumaat, 26 Februari 2016 | 4:34pm

46,019 individu lepas daripada bankrap


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri (kanan) semasa melancarkan Sistem e-Insolvensi Jabatan Insolvensi Malaysia dan turut bersama Ketua Pengarah Insolvensi, Puan Haslina Mansor (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamik Bank, Fozia Amanulla di majlis pelancaran di Dewan Harmoni Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Seramai 46,019 individu bankrap mendapat pelepasan dan pembatalan pembankrapan melalui mahkamah dari tahun 2011 hingga 2015.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, berkata bilangan individu bankrap turut menurun tahun lalu kepada 18,457 kes berbanding 22,351 kes pada tahun 2014.

"Sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 276,753 kes kebankrapan dan 34,667 kes penggulungan syarikat ditadbir oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI).

"Antara punca kebankrapan ialah gagal melunaskan pinjaman peribadi seperti kereta dan rumah dan aliran menunjukkan ia berlaku kepada individu seawal usia 25 tahun," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan Sistem e-Insolvensi oleh MdI. Sistem itu menyediakan perkhidmatan Carian Status Kebankrapan Individu dan Penggulungan Syarikat yang mula beroperasi Mei tahun lalu.

267 dibaca
Berita Harian X