;
Rabu, 17 Februari 2016 | 3:57pm

AMIC, MARA Aerospace, University of Nottingham jalin kerjasama

SINGAPURA: Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) dan MARA Aerospace & Technologies Sdn Bhd berganding tenaga dengan University of Nottingham bagi menghasilkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi, pakar dan penyelidik untuk industri aeroangkasa.

Ketua Pegawai Eksekutif AMIC, Shamsul Kamar Abu Samah, berkata perjanjian kerjasama itu akan menjurus kepada pertukaran pengetahuan dan kepakaran dalam bidang tertentu industri aeroangkasa.

"Kita mahu membangunkan modal insan dalam aeroangkasa dan teknologi. Kita juga mahu mendedahkan bakat dan kepakaran tempatan kepada landskap aeroangkasa global dalam penyelidikan dan teknologi," katanya pada sampingan Singapore Airshow 2016 di Changi Exhibition Centre, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau memeterai perjanjian kerjasama lima tahun dengan University of Nottingham dan MARA Aerospace & Technologies bagi pemindahan pengetahuan dan pertukaran kepakaran.

Yang hadir sama Pengarah Pengangkutan, Logistik, Mesin dan Penyelenggaraan dan Baik Pulih (MRO)/Bahagian Promosi Perdagangan dan Perkhidmatan Eropah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Md Silmi Abd Rahman.

Shamsul Kamar berkata, University of Nottingham terkenal dengan keupayaan dalam industri aeroangkasa global dan penyelidik Malaysia dapat mendalami pengetahuan dengan bekerja bersama-sama dengan rakannya itu.

"Pembuatan lanjutan, jentera lanjutan dan komposit lanjutan adalah bidang khusus yang kita cari.

"Ketika ini, kita bekerjasama dalam penyelidikan yang boleh diterokai lanjut oleh penuntut sarjana dan PhD yang melanjutkan pelajaran di sana," katanya.

Kumpulan pertama dijangka bermula tahun depan. - BERNAMA

142 dibaca
Berita Harian X