Ahad, 24 Januari 2016 | 12:05am

Port Dickson bukan sekadar ada pantai


Hotel Lexis Hibiscus, Kembara Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto Rohanis Shukri

STATUS Port Dickson (PD) selaku destinasi percutian popular bukan baru tetapi sejak zaman kolonial, sering dikunjungi pegawai British ketika itu yang ingin lari seketika dari cuaca panas dan hiruk-pikuk Kuala Lumpur.

Namanya diambil sempena daripada seorang setiausaha kolonial, John Frederick Dickson yang dikatakan individu pertama menemui tempat itu dan Pulau Arang pada 1889.

Daripada bandar kecil pengeluar arang, PD yang dulunya dikenali sebagai Tanjung, sekelip mata menjadi tumpuan pelancong untuk menikmati percutian pantai.

Pantai sepanjang 18 kilometer bermula dari Tanjung Gemuk berlanjutan hingga Tanjung Tuan sentiasa dikerumuni pengunjung yang bukan saja ingin mandi-manda bahkan bermain sukan air dan melakukan aktiviti perkhemahan.

Justeru, andai mahu berehat dengan tenang, enggan dihimpit kesesakan selain berhadapan masalah sukar parkir kereta, sebaiknya elak memasuki bandar itu menjelang hujung minggu. Sejak Jumaat malam, PD penuh sesak dengan pelancong yang membuat tempahan awal hotel terletak berdekatan pantai.


Muzium Tentera, Port Dickson.

Muzium tarikan terbaharu

Pengarah Tourism Negeri Sembilan, Zaidi Kassim tidak menafikan sambutan memberangsangkan orang ramai terhadap destinasi pantai namun PD yang turut popular dengan jolokan Bandar Tentera Darat tetap mencuba keluar kepompong dengan memperbanyakkan bilangan muzium.

"Muzium berciri unik dengan konsep segar menjadi tarikan baharu pelancong ke bandar ini. Ia menyediakan pilihan bukan pantai dan laut," katanya.

Galeri Art Alive 3D, galeri Rumah Terbalik Upside Down dan Muzium Tentera Darat paling disyorkan melawat kerana menawarkan keseronokan, ilmu bermanfaat selain menggalakkan interaktif pengunjung dan artifak dipamerkan.


Galeri Art Alive.

Galeri lukisan hidup

Galeri Art Alive 3D menghidangkan seni lukisan tiga dimensi bertanggungjawab menghidupkan kembali Lukut yang pada 1820-an dulu meriah dengan lambakan bijih timah.

Galeri tiga tingkat itu mengandungi 50 lukisan merangkumi lima tema iaitu pengembaraan, akuarium, animasi, eksotik dan seni gelap.

Galeri itu pernah mencatat rekod kunjungan tertinggi seramai 1,678 orang sehari.

Pembantu Pengurus Operasinya, New Khong Ming, berkata lukisan karya pelukis dari China disukai kerana memaparkan imej seolah hidup selain siri lukisan boleh bersinar dalam gelap terbesar pernah dihasilkan, membabitkan ruang mengandungi ilustrasi selebriti seperti Marilyn Monroe, selain Monalisa sedang bersantai di sebuah kafe di Itali.

Karya pelukis mahir

Langkah melukis dan mewarna semula dijalankan di bawah bimbingan pelukis mahir dari China.

Khong Ming berkata, pengunjung pula dibenarkan bergambar dan menghabiskan sesi lawatan selama satu jam.

Tambah menarik, panduan dari segi kedudukan merakamkan gambar dikemukakan di setiap tempat lukisan berada sekali gus memberi idea kepada pengunjung mengenai hasil gambar diambil.

"Paling menjadi rebutan untuk mengabadikan gambar kenangan adalah lukisan Tembok Besar China, piramid Mesir dan bangunan putih tepi laut di Santorini, Greece," katanya


Muzium Tentera Darat, Port Dickson.

Muzium Tentera menarik dan terperinci

Satu kerugian tidak meluangkan masa mengunjungi Muzium Tentera yang pernah dikurniakan Anugerah Merit Kategori Pelancongan Terbaik bagi Tarikan Warisan 2005/06.

Berkonsepkan informatif dan interaktif, pengunjung dibawa menghayati sejarah ketenteraan yang sarat dengan perjuangan, darah, nyawa dan air mata.

Penerokaan bermula dengan tayangan audio visual Pepper Ghostbersaiz sebenar yang pertama seumpamanya dalam negara.

Tayangan selama 15 minit memberi gambaran jelas mengenai tentera darat, termasuk pembabitan dalam konfrontasi Malaysia - Indonesia yang mencetuskan gerakan Ganyang Malaysia.

Menerusi keluasan keseluruhan kira-kira dua kilometer, pintu 3 menempatkan replika kapal Mendam Berahi digambarkan berlabuh di pelabuhan Melaka yang suatu ketika dahulu digelar Venice Timur berupaya mengembalikan nostalgia kemakmuran kerajaan itu.

Sayu, terharu dengan pejuang silam

Persembahan cahaya dan bunyi-bunyian di samping patung hulubalang yang mengawasi pelabuhan berjaya menghidupkan suasana.

Tidak ketinggalan menarik, segmen Era British Di Tanah Melayu yang mempamerkan deretan monokrom pahlawan Melayu terbilang bersaiz sebenar, antaranya, Datuk Maharaja Lela yang masyhur di Perak, Tok Janggut (Kelantan), Datuk Bahaman dan Mat Kilau yang gigih menentang penjajah di Pahang, Datuk Kelana mewakili Sungai Ujong dan lain-lain.

Penyelia Pameran dan Promosinya, Staf Sarjan Mohd Fareezal Amri Sally Abdullah menjelaskan ukiran terperinci raut wajah patung lengkap fizikal sebenar lelaki dewasa dilakukan selepas kajian menyeluruh dibuat.

"Patung Datuk Maharaja Lela misalnya, adalah terjemahan daripada susuk tubuh asli dan raut wajah tipikal lelaki Perak. Sementara, pejuang Sabah, Mat Salleh digambarkan memiliki raut wajah iras Inggeris," katanya.

Sayu menyelubungi diri sewaktu mendekati props jenazah wira negara yang juga anggota ke-90 Rejimen Askar Melayu, Leftenan Adnan Saidi yang terkorban dalam pertempuran melawan tentera Jepun di Bukit Candu.


Rumah terbalik.

Rumah Terbalik

Mengambil inspirasi rumah terbalik Daniel Czapiewski terletak di perkampungan kecil Szymbark, Poland, Rumah Terbalik atau Upside Down Gallery satu lagi tarikan menunggu pengunjung di Port Dickson.

Dibuka pada Mei lalu, ia menyediakan 26 set ruang kediaman dengan perabot serta aksesori hiasan diletakkan dalam keadaan terbalik.

Imej dilihat ganjil namun menarik sebaik pengunjung memusingkan gambar yang diambil menggunakan telefon bimbit mereka.

Bayaran RM20 dikenakan bagi pemegang MyKad dewasa manakala kanak-kanak bawah 12 tahun perlu membayar RM15 sementara pelancong luar negara dikenakan bayaran tambahan RM5. Ia dibuka dari jam 10 pagi hingga 9 malam.

213 dibaca
Berita Harian X