Selasa, 19 Januari 2016 | 4:53pm

Lelaki tertua 112 tahun meninggal dunia


YASUTARO Koide. - Foto AP

TOKYO: Warga Jepun yang diiktiraf sebagai lelaki tertua dunia meninggal dunia pada usia 112 tahun awal hari ini.

Yasutaro Koide yang dilahirkan pada 13 Mac 1903, meninggal dunia dua bulan sebelum sambutan hari jadinya ke-113.

Beliau pernah berkata, rahsia umur panjangnya adalah tidak merokok dan mengambil alkohol.

Koide bekerja sebagai tukang jahit ketika muda. Beliau diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai lelaki tertua dunia Ogos lalu.

Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan menyatakan, Koide meninggal dunia di hospital di Nagoya, lokasi mendiang dirawat kerana masalah jantung yang kronik.

Di Tokyo, Masamitsu Yoshida, 111, yang dilahirkan pada 30 Mei 1904, menggantikan Koide sebagai lelaki tertua di Jepun. Namun masih belum diketahui sama ada Yoshida juga adalah lelaki tertua dunia.

Menurut rekod pendaftaran keluarga, Jepun mempunyai lebih 61,000 penduduk berusia atas 100 tahun. Hampir 90 peratus adalah wanita.

Manusia tertua di dunia ialah wanita Amerika Syarikat, Susannah Mushatt Jones berusia 116 tahun dari Brooklyn, New York. - AP

19 dibaca
Berita Harian X