;
Selasa, 19 Januari 2016 | 12:01am
ANTARA babak di dalam filem Senior.

Roh cari pembunuh misteri


SENIOR, karya arahan sutradara, Wisit Sasanatieng, yang pernah menghasilkan skrip Nang Nak.

PERSOALAN mengenai roh dan apa yang berlaku selepas kematian sememangnya tidak pernah berkesudahan diperkatakan.

Tiada siapa juga dapat membayangkan apa yang dilalui roh si mati sepanjang detik nyawa meninggalkan badan.

Bagi sesetengah pendapat, roh yang tidak tenteram boleh mengganggu orang di sekelilingnya dan muncul dalam pelbagai rupa.

Lebih menakutkan lagi apabila roh mangsa bunuh dikatakan sering berlegar, malah terus menghantui dan memburu pembunuhnya.

Itulah antara inti pati menerusi filem terbaharu dari Thailand berjudul Senior. Karya dalam genre seram dan penyiasatan itu cuba merungkai misteri kematian seorang lelaki yang ditembak dari belakang.

Agak misteri apabila si pembunuh tidak diketahui identitinya.

Filem berkenaan mengangkat watak seorang remaja perempuan bernama Adhiti yang dilakonkan oleh aktres kacukan Thailand-Jerman, Jannine Parawie Weigel atau Ploychompoo.


SELAIN ditayangkan sebagai filem seram, elemen persahabatan turut diselitkan di dalam filem ini.

Adhiti belajar dalam gred 12 di sebuah sekolah biara yang sudah lama didirikan dan kompleks itu pula nyata yang menyimpan seribu kisah menakutkan.

Gadis pendiam itu juga sering bersendirian dan muram selepas kehilangan kasih sayang ibu serta bapanya.

Bagaimanapun, kehidupannya berubah dan semakin ceria selepas kehadiran seorang rakan baharu di sekolahnya, Ant.

Adhiti berbeza daripada rakan sebayanya yang lain kerana beliau mempunyai kelebihan dapat menghidu kehadiran roh yang menghampirinya.

Kelebihan dimiliki membuatkan dirinya dihampiri roh remaja lelaki yang mahu dikenali sebagai Senior, yang sudah 30 tahun mati akibat ditembak seseorang yang gagal dikenal pasti.

Senior lakonan Pongsakorn Tusuwan atau dikenali sebagai Bom memerlukan bantuan Adhiti bagi menjejaki pembunuh yang menembaknya dari belakang ketika beliau menyiasat kes pembunuhan seorang wanita dikenali sebagai Princess Bhannawadee, di kolam renang di kediaman wanita berkenaan.


AKTRES kacukan Thailand-Jerman, Jannine Parawie Weigel

Bagi menuntut keadilan, Senior meminta Adhiti menyiasat punca kematian dan membantunya menjejaki si penjenayah bertanggungjawab.

Adhiti bagaimanapun kembali kesepian selepas misi penyiasatannya selesai dan Senior pula terpaksa pergi daripada hidupnya.

Hidup gadis itu juga terus sunyi selepas Ant membunuh diri akibat tertekan selepas diabaikan guru yang pernah menidurinya.

Selain unsur seram yang menunjangi cerita, karya arahan sutradara, Wisit Sasanatieng, yang pernah menghasilkan skrip Nang Nak pada 1999 ini turut menyelitkan erti sebenar persahabatan antara dua rakan, yang dilihat saling melengkapi antara satu sama lain.

Meskipun tiada kasih sayang daripada ibu bapa, seorang sahabat mampu memberi keceriaan dalam hidup seseorang.

Bagi pencinta filem seram, Senior antara yang penuh dengan misteri kematian. Pada masa sama, karya ini tidak lupa mengetengahkan beberapa watak hantu yang sememangnya mampu mengejutkan khalayak.

Ia tidak syak antara judul yang mampu memberikan hiburan (dan jeritan) buat penggemar filem dalam genre berkenaan.

Info :

    Filem: Senior

    Produksi: M Thirty Nine, Thailand

    Genre: Seram, penyiasatan

    Pengarah: Wisit Sasanatieng

    Tayangan: Mulai 14 Januari 2016

    Pelakon: Jannine Parawie Weigel, Pongsakorn Tusuwan, Sa-ad Piampongsan

137 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »