;
Selasa, 29 Disember 2015 | 2:52pm

Langkawi bakal miliki muzium seni visual


SEORANG pengunjung tertarik melihat Pameran Seni Visual 1KAKI @ LANGKAWI di Ayer hangat Village, Langkawi, semalam.- Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Sebuah muzium seni visual bakal dibangunkan kerajaan negeri dalam tempoh terdekat dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), sekali gus menambah kepelbagaian koleksi tarikan di pulau pelancongan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, berkata sehingga kini, LPSVN sudah memperoleh sebidang tanah di Kuah, di sini untuk tujuan itu.

Katanya, sebaik siap dibina, ia bakal menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan sedia ada di Langkawi.

"Kerajaan negeri dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta giat melaksanakan pelbagai program kesenian, termasuk seni visual dalam usaha mengangkat martabat warisan tempatan. Penubuhan muzium seni visual ini adalah sebahagian daripada usaha ke arah itu.

"Ketika ini, usaha pengambilan tanah sudah dibuat dan kita masih menunggu proses seterusnya. Bagi saya, ini suatu berita gembira untuk peminat seni visual khususnya di Langkawi," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Muzium Penguin dan Pengembaraan Aneh di Underwater World Langkawi (UWL) di Pantai Chenang, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad; Ketua Pengarah LPSVN, Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa dan Pengurus Kanan UWL, Fadina Othman.

125 dibaca
Berita Harian X