Ahad, 27 Disember 2015 | 12:03am

Uniknya selendang keringkam


SELINDANG keringkam. - Foto Jeakqleyn Yacho

PADA zaman lampau, selendang warisan tradisi masyarakat Melayu Sarawak yang dikenali sebagai keringkam, hanya dipakai oleh golongan bangsawan, namun kini sesiapa sahaja boleh menggayakannya.

Keringkam adalah antara seni halus warisan yang melambangkan budaya wanita di Bumi Kenyalang, sekali gus menjadikannya tarikan utama kepada pelancong untuk dibawa balik sebagai cenderahati.

Bagi pengusaha keringkam, Salbiah Muhi, 63, keistimewaan selendang tradisi itu yang diperbuat daripada kain lembut dan dihiasi dengan sulaman menggunakan benang berwarna emas serta perak menjadikannya seni halus yang cukup unik.


SALBIAH Muhi menyulam selendang keringkam di rumahnya. - Foto Jeakqleyn Yacho

Salbiah berkata, penghasilan keringkam cukup rumit kerana bukan sahaja memerlukan kemahiran tinggi, malah pembuatnya harus memiliki ketelitian dan kesabaran.

Beliau bersama adiknya, Zainap Muhi, 45, menghasilkan keringkam dengan penuh teliti bukan sahaja bagi memastikan benang daripada plat logam bersadur emas itu tidak bersimpul dan patah, tetapi pada masa yang sama, memastikan coraknya dihias cantik pada kain.

"Sebaik sahaja menunaikan solat Subuh, saya dan adik memulakan rutin harian menghadap pemidang kayu yang dibentangkan bersama dua meter kain bawal untuk memulakan kerja sulaman keringkam di rumah.

"Benang emas perlu dimasukkan perlahan-lahan ke dalam jarum dan disimpul supaya tidak terbuka dengan mengikut urat kain bagi memulakan sulaman sambil duduk bersimpuh," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Ajibah Abol, di Petra Jaya, baru-baru ini.


SALBIAH Muhi menunjukkan selendang keringkam yang dihasilkannya. - Foto Jeakqleyn Yacho

Salbiah berkata, sulaman keringkam biasanya dijadikan tudung selendang atau selayar dan seni sulaman Melayu Sarawak, yang menggunakan benang emas serta perak.

"Kain keringkam terdiri daripada selendang berukuran dua meter dan tudung kecil dipanggil selayar pula kira-kira satu meter.

"Wanita Melayu Sarawak biasanya memakai keringkam pada hari istimewa seperti perkahwinan, pertunangan dan menghadiri majlis tertentu.

"Keringkam memang tahan lama dan mampu menjangkau usia 100 tahun. Malah, saya sendiri masih menyimpan selayar keringkam milik arwah ibu yang berusia lebih 100 tahun," katanya.


ZAINAP Muhi menunjukkan corak sulaman keringkam yang dihasilkannya. - Foto Jeakqleyn Yacho

Menceritakan pengalaman menyulam keringkam, beliau berkata, setiap sulaman keringkam pada selendang mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan dan dua bulan bagi menghasilkan selayar.

"Saya dan adik menyulam keringkam hanya mengikut tempoh tertentu iaitu dari satu ke dua jam sahaja sehari bagi memastikan kualiti terus terpelihara.

"Ini kerana saya tidak mahu mengambil risiko kerana khuatir apabila memaksa diri untuk menghabiskan sulaman menyebabkan hasilnya mengecewakan," katanya.

Salbiah yang berkemahiran menyulam sejak berusia 17 tahun berkata, harga sulaman keringkam di pasaran dianggarkan antara RM1,000 hingga RM10,000 bergantung kepada corak sulaman.


ZAINAP Muhi menunjukkan koleksi sulaman keringkam yang dihasilkan olehnya. - Foto Jeakqleyn Yacho

Katanya, harga keringkam agak mahal kerana benang emas yang digunakan berharga RM150 untuk satu gulung dan setiap kain memerlukan antara 18 hingga 20 gulung benang.

Sejajar dengan perkembangan fesyen terkini, Salbiah dan Zainap menerusi syarikat mereka, Sazalia Warisan Craft, turut menghasilkan sulaman keringkam pada sarung kusyen, bantal, kotak tisu dan pelapik dulang.

Sulaman keringkam yang dihasilkan syarikatnya sering mendapat tempahan daripada agensi kerajaan dan syarikat korporat untuk dijadikan cenderahati kepada tetamu istimewa, bahkan pernah dijadikan cenderamata untuk Raja Permaisuri Agong dan pembesar negara.

57 dibaca
Berita Harian X