Rabu, 8 Oktober 2014 | 6:51pm

Kerajaan Selangor tak pernah keluar permit 'Octoberfest' - Exco


AHLI Parlimen Temerloh yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan (depan tiga dari kanan) ketika hadir di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi menyerahkan memorandum bantahan pesta arak (Octoberfest) hari ini. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak pernah memberikan permit atau kelulusan terhadap mana-mana pihak dalam penganjuran festival minuman keras 'Octoberfest 2014' yang dijangka berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Ean Yong Hian Wah dalam kenyataannya hari ini berkata, pengeluaran permit bagi acara sedemikian adalah bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Penganjur boleh memohon kepada PBT yang berkaitan dan kelulusannya adalah tertakluk kepada beberapa syarat yang ditetapkan antaranya memasang papan tanda 'Melayu/Islam dilarang masuk", memastikan tiada pengunjung di bawah umur, mendapat kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia, dan acara hendaklah dilakukan di lokasi tertutup," katanya.

'Oktoberfest' atau festival arak yang dianjurkan sebuah syarikat pengeluar minuman keras itu telah bermula sejak 24 September lalu di beberapa lokasi termasuk di sebuah hotel di Subang dan Kuala Lumpur.

Kemuncak pesta berkenaan pula akan diadakan pada Jumaat hingga Ahad ini di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dalam kenyataannya hari ini berkata pemasangan papan iklan promosi 'Octoberfest' dilakukan tanpa kelulusan dan kebenaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Bagaimanapun katanya, iklan berkenaan dipasang di papan iklan milik sebuah syarikat pengiklanan dan bukan milik MBSA. Katanya papan iklan berkenaan telah diturunkan oleh MBSA dan syarikat pengiklanan berkenaan telah dikenakan tindakan sewajarnya. - BERNAMA

406 dibaca
Berita Harian X