;
Ahad, 6 Disember 2015 | 4:20pm

Persempadanan semula kawasan pilihan raya Sabah tahun depan

PORT DICKSON: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah awal tahun depan.

Menyatakan demikian, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini akan diikuti dengan persempadanan semula di negeri-negeri di Semenanjung.

Persempadanan semula di Sarawak telah selesai.

Berikutan itu, Dewan Rakyat pada 2 Disember lalu meluluskan usul Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri bagi negeri itu yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketika ini, Sarawak mempunyai 71 kerusi DUN.

"Kita belajar banyak daripada pengalaman membuat persempadanan semula Sarawak dan kita akan menggunakan pengalaman itu untuk Sabah dan Semenanjung.

"Sasaran kita adalah menggunakan persempadanan semula ini pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Abdul Aziz bercakap pada sidang media selepas program Singgah Mesra SPR di perkampungan Orang Asli Bukit Kepong, Pasir Panjang dekat sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh.

Abdul Aziz berkata, persempadanan semula itu adalah satu proses yang rumit kerana terdapat banyak 'gangguan' oleh pihak-pihak tertentu hingga SPR dibawa ke mahkamah.

Sementara itu, katanya pihaknya memperoleh enam buah kenderaan karavan bernilai RM1.2 juta pada tahun ini untuk memperluaskan lagi perkhidmatan pendaftaran pengundi khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

"Dengan adanya kenderaan karavan ini akan memudahkan pegawai kita untuk melaksanakan program 'outreach', pemantauan operasi dan naziran bagi urusan pendaftaran pemilih.

Program Singgah Mesra SPR yang kali pertama kali diadakan adalah penjenamaan semula program berbentuk 'outreach' dan turun padang SPR yang menggunakan konsep Strategi Lautan Biru. - BERNAMA

210 dibaca
Berita Harian X