Jumaat, 4 Disember 2015 | 10:30am

Pasaran telefon pintar menyederhana - IDC

WASHINGTON: Pertumbuhan jualan telefon pintar global akan turun kepada satu digit buat kali pertama tahun ini berikutan penyederhanaan di China.

Firma penganalisis pasaran, IDC berkata penghantaran telefon pintar pada 2015 akan berkembang pada 9.8 peratus atau sebanyak 1.43 bilion unit.

Unjuran itu mencerminkan pertumbuhan perlahan di kebanyakan pasaran Asia, Amerika Selatan dan Eropah barat.

Penyederhanaan jualan itu dijangka berterusan hingga 2019, kata IDC.

Pasaran tumpuan utama adalah China, yang terjejas dengan pertumbuhan perlahan dan tepu.

"IDC mengekalkan unjurannya bahawa China sebahagian besarnya sudah jadi pasaran gantian," kata laporan itu.

Pertumbuhan kukuh akan datang dari Asia Barat dan Afrika dengan kenaikan hingga 50 peratus sekali gus mendahului beberapa pasaran sedang pesat membangun lain seperti India dan Indonesia.

"Apabila pasaran telefon pintar menyederhana kepada pertumbuhan satu digit, mengekalkan momentum akan bergantung kepada beberapa faktor," kata penganalisis IDC, Ryan Reith.

"Pemacu utama akan bertumpu kepada telefon pintar kos rendah daripada pasaran sedang membangun. Ini banyak bergantung kepada memenangi hati pembeli kali pertama serta yang naik taraf.

"Dalam kebanyakan pasaran sedang membangun, kitaran untuk ganti peranti pintar adalah dua tahun," katanya.

Mengikut IDC, Android dijangka kekal dominan dengan bahagian pasaran 81.2 peratus manakala Apple menguasai 15.8 peratus. Telefon pintar Windows dijangka menguasai 2.2 peratus pasaran manakala sistem operasi lain 0.8 peratus," katanya. - AFP

87 dibaca
Berita Harian X