Selasa, 7 Oktober 2014 | 7:21am

Kemerosotan sumber air angkara tangan manusia


PARAS air Empangan Kuala Kubu Bharu susut akibat kemarau. - Foto Fail NSTP/Abdullah Yusof

Di negara ini, isu atau persoalan mengenai perubahan iklim dan kesannya kepada manusia serta alam bukanlah topik yang digemari untuk diperkatakan berbanding isu lain seperti hal ekonomi, sosial dan lebih-lebih lagi politik.

Lazimnya, isu yang menyentuh soal alam sekitar, cuaca atau iklim hanya mendapat perhatian rakyat secara bermusim, khasnya apabila terjadi sesuatu bencana alam seperti tsunami pada tahun 2004, tanah runtuh, banjir dan kemarau.

Saintis mengesahkan perubahan iklim disebabkan oleh dua faktor utama iaitu perubahan semula jadi pada bumi, lautan serta atmosfera dan disebabkan kegiatan manusia yang menyumbang kepada peningkatan gas rumah hijau dan aktiviti penerokaan tanah untuk pembangunan.

Malah, laporan penilaian Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2013 menunjukkan bahawa faktor kegiatan manusia ialah faktor penyebab dominan dalam perubahan iklim bermula sejak pertengahan abad ke-20.

Kesedaran masyarakat masih rendah

Akan tetapi, tidak dinafikan kesedaran masyarakat terhadap isu perubahan iklim dan impaknya kepada kehidupan manusia hari ini serta masa hadapan boleh dikatakan masih rendah atas pelbagai faktor, antaranya tidak ambil kisah terhadap hal ehwal mengenai alam sekitar di samping mempunyai persepsi bencana alam berskala mega tidak mungkin berlaku di Malaysia seperti dialami banyak negara lain di dunia.

Akan tetapi, sama ada di sedari atau tidak, iklim yang melitupi Malaysia sebenarnya sudah mengalami perubahan yang mana ia sebenarnya memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada cuaca serta alam sekitar di negara ini.

Perubahan iklim lazimnya mendatangkan kesan kepada sesuatu kawasan atau wilayah. Dalam konteks di Malaysia, perubahan iklim yang bersifat drastik atau mendadak kebelakangan ini menimbulkan kesan jangka pendek dan jangka panjang.

Kesan perubahan iklim ini yang dapat dirasai secara ketara ialah peningkatan cuaca panas, mewujudkan fenomena cuaca ekstrem yang menjadi faktor berlakunya musim kemarau atau banjir secara melampau atau luar biasa yang mana ia tidak pernah direkodkan berlaku dalam tempoh lebih 10 tahun.

Perkara ini dinyatakan Pengurus Besar Syarikat Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Jaseni Maidinsa dalam Seminar Mengenai Perubahan Iklim anjuran Institut Untuk Pembangunan Komunikasi Asia (AIDCOM), Fakulti Komunikasi dan Media (FKM), Universiti Selangor (UNISEL).

Beliau menjelaskan, antara petanda perubahan iklim yang dirasai di negara ini ialah peningkatan suhu, jerebu dan kemarau. Peningkatan suhu dan kemarau menyebabkan empangan mengering seperti berlaku di Selangor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.

"Pernahkah pengguna air terfikir apa akan jadi kepada bekalan air kepada pengguna apabila empangan mengering? Ia boleh menyebabkan krisis bekalan air seperti yang terjadi di beberapa tempat di negara ini seperti di Selangor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.

"Apabila paras air empangan merosot akibat berlaku perubahan iklim, secara automatik, bekalan air dirawat untuk dibekalkan kepada pengguna akan merosot.

"Itulah sebabnya Selangor dan Negeri Sembilan terpaksa mencatu bekalan air. Adakah masyarakat faham kitaran ini dan kaitannya dengan perubahan iklim?" soalnya.


PEMBAKARAN terbuka memburukkan lagi jerebu. - Foto Fail NSTP/Abdul Rahman Adam

Fenomena air empangan merosot

Jaseni menjelaskan, fenomena air empangan merosot adalah ibarat mimpi ngeri bagi sesebuah syarikat operator air kerana jika ia berlaku, bermakna pelan tindakan kecemasan perlu diaktifkan seperti mencatu bekalan air.

Masalah dihadapi syarikat operator ialah permintaan bekalan air semakin hari, semakin bertambah dan ada waktunya meningkat disebabkan pertambahan penduduk dan kawasan penempatan.

Dalam menangani permasalahan ini, beliau mengingatkan semua pihak agar dapat bersama-sama menjaga, melindungi dan mengurus sumber air negara terutama di kawasan dikenal pasti sebagai lokasi tadahan air semula jadi.

Perkara ini kata beliau, tidak mendapat perhatian sewajarnya oleh rakyat dan pihak atasan sedangkan pada hakikatnya, sumber air mentah semakin berkurangan akibat pemusnahan kawasan tadahan air, pencemaran sungai, kemarau dan pembalakan haram.

"Mungkin ramai yang tidak sedar masalah ini. Sumber air negara menjadi semakin merosot disebabkan banyak hutan dan bukit yang menjadi kawasan tadahan air diteroka serta digondolkan bagi tujuan pembangunan," katanya.

Di Malaysia, selain kesan daripada perubahan iklim, kemerosotan sumber air juga terjadi akibat aktiviti penebangan pokok dan menggondolkan bukit secara massa bagi tujuan pembangunan sesebuah kawasan, khasnya bagi mengejar keuntungan dalam sektor hartanah.

Aktiviti berkenaan sebenarnya amat menyumbang kepada berlakunya perubahan iklim di negara ini. Kegiatan ini memberi kesan buruk terhadap alam sekitar serta dapat mempengaruhi cuaca dan iklim tanpa disedari.

Masalah kemarau juga berkait rapat dengan pengurangan sumber air. Apabila berlaku pembangunan tidak terkawal dan berterusan, seperti hutan atau kawasan bukit yang menjadi kawasan tadahan air semula jadi digondolkan, ia akan menjejaskan bekalan sumber air semula jadi bawah tanah yang akan menjadi mata air dan mengalir ke sungai.

Kawasan hutan, bukit ditarah

Inilah sebabnya pada musim kemarau, masalah kekurangan sumber air di negara ini menjadi bertambah kronik. Kemarau di Malaysia hari ini menyebabkan air di kawasan empangan mengering dengan cepat. Ia disebabkan banyak kawasan tadahan air khasnya kawasan hutan asli dan bukit yang menjadi sumber bekalan air bawah tanah ditarah atau dimajukan sama ada dijadikan kawasan pertanian atau penempatan.

"Dalam kes catuan air di Selangor dan Lembah Klang baru-baru ini, ia berpunca daripada kekurangan sumber air untuk diproses di loji milik Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sama ada dari sumber empangan atau sungai akibat kemarau dan penerokaan kawasan tadahan air.

"Kelewatan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang sepatutnya dibina sejak empat tahun lalu turut menjadi punca mengapa krisis air berulang di Selangor dan Lembah Klang," katanya.

Apa yang pasti, kerakusan manusia meneroka alam sekitar atas alasan mengejar pembangunan pasti akan menimbulkan kesan kepada alam dan menjejaskan kehidupan manusia dalam tempoh tertentu tanpa disedari.

Dekan FKM, Prof Dr Azmuddin Ibrahim berkata, masyarakat perlu meningkatkan kesedaran terhadap perubahan iklim serta kesannya kepada kehidupan antaranya kesihatan, ekosistem, sumber air dan juga agrikultur.

Katanya, seminar seperti ini diharap bukan saja menjadi medan untuk berbincang, tetapi mencari jawapan kepada bentuk tindakan yang perlu diambil pada masa akan datang untuk menjaga alam ini.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (CETDEM), Gurmit Singh, pula berkata, Malaysia perlu menumpukan lebih banyak usaha dan sumber untuk menangani ancaman perubahan iklim.

Katanya, antara usaha yang perlu dilakukan ialah dengan meningkatkan kempen kesedaran kepada masyarakat untuk memelihara alam sekitar seperti mengurangkan penggunaan bahan api fosil dan menggalakkan pemindahan teknologi dari negara maju ke negara ini untuk mengatasi isu perubahan iklim.

1120 dibaca
Berita Harian X