Rabu, 10 Oktober 2018 | 10:59am
ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah lori dan kereta yang terbabit kemalangan baru-baru ini. - Foto L.Manimaran

Hukuman tegas tingkat kesedaran

SUDAH tiga hari berlalu sejak kemalangan maut membabitkan sebuah treler dan kereta sehingga mengorbankan lima dipercayai sekeluarga di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora di Ipoh, namun masih ramai memperkatakan mengenai tragedi berkenaan.

Ia bukan kejadian pertama seumpamanya kerana sudah acap kali kita mendengar nahas di sekitar tempat sama yang meragut banyak nyawa sekali gus, selain membabitkan kenderaan berat seperti lori dan bas.

Laluan yang agak berbahaya dengan keadaan jalan menuruni bukit sebaik keluar dari terowong arah ke utara itu menyebabkan laluan berkenaan turut dikenali dengan panggilan ‘jajaran maut’.

Jika tiada yang maut, kemalangan kadang kala membabitkan jumlah kenderaan yang banyak, terutama ketika cuaca buruk.

Kawasan berhampiran lokasi nahas pada Sabtu lalu itu pernah mencatatkan kemalangan membabitkan 29 kenderaan pada 9 Mac 2009, biarpun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pada Julai 2016 pula, sebuah bas ekspres merempuh 10 kereta selepas pemandunya dipercayai hilang kawalan mengakibatkan kemalangan di laluan arah selatan berhampiran terowong yang sama.

Sejak dibuka secara rasmi pada 1986, terlalu banyak kemalangan dicatatkan di kawasan berkenaan tidak kira membabitkan kehilangan nyawa atau sebaliknya.

Sehingga hari ini, tidak nampak usaha secara fizikal dilakukan di kawasan kemalangan, biarpun banyak amaran dan ingatan diberikan pihak berkuasa.

Jika diamati, kelajuan adalah punca utama mengakibatkan laluan selepas Terowong Menora itu menjadi berbahaya disebabkan sikap pemandu sendiri yang tidak lebih berhati-hati ketika melalui kawasan terbabit.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Law Teik Hua, berkata perbezaan kelajuan yang terpaksa ditempuh pemandu sebelum dan selepas melalui terowong, dilihat punca banyaknya kemalangan berlaku di situ.

“Sebelum memasuki terowong, laluan adalah secara mendaki dan kebanyakan kenderaan, terutama lori dan bas terpaksa memperlahankan kelajuan, tetapi sebaik melepasi terowong, laluannya menuruni bukit menyebabkan mereka mula memandu laju.

“Pemanduan sebegitu kadang kala menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan, terutama apabila hujan kerana jalan basah dan licin,” katanya sambil menambah, keadaan lebih berbahaya kepada kenderaan berat dengan muatan, terutama apabila brek tidak diselenggara baik.

Tanda amaran diabai pemandu

Teik Hua berkata, pemasangan speed breaker atau pemecah kelajuan antara penyelesaian diharap dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan di situ memandangkan ‘nasihat’ atau ‘tanda amaran bahaya’ gagal mendidik pemandu untuk mengubah pemanduan secara lebih berhemah.

Kehadiran pihak berkuasa mungkin meningkatkan kesedaran untuk memandu dengan lebih berhati-hati, tetapi mana mungkin pihak polis perlu sentiasa diletakkan di situ untuk mengawal sikap pemandu.

“Pemasangan kamera perangkap had laju atau Sistem Pengkuatkuasaan Automatik (AES) dilihat satu lagi alternatif penyelesaian masalah. Walaupun had laju selepas Terowong Menora tidak terlalu tinggi, pemasangan kamera berkenaan mampu mengubah sikap pemandu untuk tidak memecut di kawasan berbahaya itu,” kata Teik Hua lagi.

Ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, kita pernah mendengar cadangan Kementerian Pengangkutan untuk memperkenalkan hukuman menggantung atau membatalkan lesen kepada pemandu cuai yang menyebabkan kemalangan maut.

Sehubungan itu, kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kelmarin, bahawa kerajaan bercadang mengkaji semula Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan hukuman gantung seumur hidup lesen pemandu menyebabkan kemalangan maut diharap menjadi kenyataan.

Bukan hukuman semata-mata yang kita mahu lihat, lebih penting daripada itu adalah supaya undang-undang berkenaan mampu memberi kesedaran kepada semua pemandu untuk menghayati slogan ‘pandu cermat, jiwa selamat’.

Kecuaian di jalan raya bukan hanya memberi kesan kepada diri sendiri sebaliknya boleh mengakibatkan kehilangan banyak nyawa pengguna lain.

250 dibaca
Berita Harian X