Rabu, 6 Disember 2017 | 6:44am
PARA perwakilan ketiga-tiga sayap UMNO mengikuti ucapan Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis perasmian perhimpunan agung parti yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra. - Foto BERNAMA

Integriti, isu rakyat tentukan survival parti

UMNO kini berhadapan cabaran mempertahankan kuasa. Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, serangan demi serangan dengan pelbagai tohmahan dilemparkan oleh musuh politiknya dari kalangan parti pembangkang sedikit sebanyak memecahkan sokongan rakyat.

Beberapa negeri berjaya dikuasai pembangkang. Namun, menyalahkan musuh politik semata-mata bukan sikap yang bijak. Rakyat hari ini menilai UMNO-BN bukan lagi berdasarkan aspek politik pembangunan semata-mata.

Hari ini, dalam dunia yang semakin terbuka kesan daripada peningkatan pendidikan rakyat serta kemajuan pesat teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), rakyat menilai UMNO-BN dari pelbagai sudut.

Persoalan mengenai integriti, pendemokrasian yang lebih luas, ketelusan media, ketelusan dan keberkesanan agensi kerajaan, idea mengenai hak asasi, kualiti menteri dan wakil rakyat serta keupayaan kerajaan mengurus kehidupan rakyat yang berhadapan peningkatan kos sara hidup mempengaruhi keputusan rakyat dalam PRU akan datang.

Justeru, kerajaan tidak boleh hanya berbangga dengan pembangunan fizikal dan angka ekonomi sekiranya rakyat berasakan di sebalik pembangunan dan angka ekonomi yang dicanang itu mereka terus terbeban dengan pelbagai tekanan hidup.

Mesti terus bekerja keras

Justeru, untuk mendapatkan kepercayaan rakyat, sama ada dalam kalangan orang Melayu dan bukan Melayu, maka parti itu mesti terus bekerja keras serta mempamerkan imej penuh integriti. Imej hipokrasi sangat dibenci oleh rakyat, terutama dalam kalangan genesari muda.

Jika ahli UMNO, terutama kepemimpinan peringkat akar umbi berasakan perlu menyingkir mana-mana pemimpin yang membawa masalah kepada parti, maka ia perlu berani berbuat demikian.

UMNO tidak perlu kekalkan pemimpin yang membawa 'liabiliti' kepada parti itu hingga boleh menyebabkan parti itu tersungkur kelak. Yang penting UMNO perlu mendapat kepercayaan kukuh daripada rakyat, khususnya Melayu.

Ini penting supaya obor perjuangan parti keramat Melayu itu akan terus marak di persada politik tanah air.

Apa pun, penulis yakin dalam mengharungi badai politik yang semakin sengit ini, UMNO tetap mempunyai formula tersendiri untuk mengatasinya.

Hadapi cabaran bersama

Sekiranya pemimpin dan ahli UMNO bersatu maka keluarga besar UMNO akan menjadi seperti 'seikat lidi' yang sangat sukar untuk dipatahkan. Segala aktiviti parti akan mudah dilaksanakan jika kita bersatu; 'bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat'.

Segala cabaran mesti dihadapi bersama oleh seluruh kepemimpinan dan ahli UMNO bak kata peribahasa "sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk". Jalan penyelesaian dan kata sepakat mesti dicapai dengan baik dalam mengatasi krisis umpama "menarik rambut di dalam tepung".

Kesimpulannya, sejak awal kelahirannya, perjuangan UMNO bukan untuk orang Melayu sahaja, malah untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Namun, cabaran sengit yang dihadapi UMNO hari ini menuntut parti itu menumpukan sepenuh perhatian kepada isu berkepentingan rakyat serta isu integriti dalam kalangan pemimpinnya dan juga kerajaan.

Sekiranya isu ini dapat diurus dengan baik, kita yakin UMNO akan terus berada di hati rakyat.

Penulis adalah Penganalisis Sosio Politik bebas

210 dibaca
Berita Harian X