Ahad, 22 Oktober 2017 | 12:30pm
Gambar fail, sebahagian orang ramai yang datang di Karnival Usahawan Desa pada Sesi Jaringan Industri bersama Usahawan Desa pada 19 Oktober lalu di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

PKS Bumiputera masih perlukan 'tongkat'

Sudah lebih lima tahun kerajaan menetapkan sasaran 30 peratus bagi produk usahawan desa untuk menembusi pasar raya besar di seluruh negara. Pada 2012, angka itu sekitar 10.64 peratus dan terkini ia pada tahap 15 peratus, naik 4.36 peratus. Ini bermakna, pertumbuhannya tidak sampai 1 peratus setahun.

Kita faham jika sebelum ini banyak masa diambil untuk kerajaan membantu merintis kerjasama erat di antara kementerian dan pengurusan pasar raya besar ketika itu - Carrefour, Giant, Tesco dan Jusco agar boleh menerima masuk produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera ke dalam premis mereka, namun, agak janggal jika sampai kini, pengurusan pasar raya besar, malah ada yang sudah bertukar nama dan diambil alih pengurusan baharu masih meninjau produk yang dipamerkan usahawan Bumiputera pada karnival atau ekspo anjuran kementerian berkaitan.

Benarkah usahawan desa gagal memenuhi tiga syarat, iaitu pembungkusan, kualiti serta jaminan bekalan berterusan seperti ditegaskan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Karnival Usahawan Desa 2017 (KUD 2017), baru-baru ini atau ada alasan tersembunyi yang lain.

Alangkah beruntungnya usahawan Bumiputera yang menyertai karnival berkenaan jika benar produk dipamerkan itu sudah melalui saringan ketat dan menepati piawaian, sekali gus memudahkan wakil pasar raya memilih produk terbaik dan menepati kehendak pasaran untuk diberi peluang dijual dalam premis mereka. Hakikatnya, kita sebagai pengguna yang tahu.

Jelajahlah pasar raya besar berhampiran rumah kita dan cuba kira berapa kerat produk usahawan desa yang berpeluang dipamerkan dalam premis pasar raya besar. Jika ada pun, sekadar melepaskan batok di tangga dan diletakkan di lokasi tersorok dan laluan yang jarang kita lalui ketika berbelanja.

Tidak dinafikan ada kebenaran perkara yang diucapkan Ismail Sabri, namun kita tidak boleh menolak 'permainan dan peraturan lisan' kelompok tertentu yang sudah menjadi rahsia terbuka dalam perniagaan, melalui pendekatan take it or leave it.

Sewajarnya, penutupan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) baru-baru ini, yang diwujudkan di seluruh negara dijadikan platform menyebar luas semua produk keluaran Bumiputera - daripada makanan sehingga keperluan harian, selain membolehkan rakyat mendapat lebih banyak pilihan produk pada harga lebih murah daripada pasaran.

Perlu diingat, KR1M diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dirasmikan pada Jun 2011, bertujuan mengurangkan beban rakyat, selain membantu memasarkan produk PKS tempatan. Ia bertujuan menjual pelbagai barangan harian pada harga 30 hingga 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Oleh itu, sesiapa pun yang mengambil alih KR1M selepas ini, mereka perlu memahami hakikat penubuhannya. Bak kata pepatah Melayu, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu BH2/Majalah Mingguan

242 dibaca
Berita Harian X