Khamis, 12 Oktober 2017 | 12:13pm
http://www.tourism4development2017.org/events/5th-asia-pacific-geoparks-network-symposium-2017/

Gerakan secara integrasi jayakan agenda Geopark

Pada 16 hingga 22 September lalu, warga Geopark Global berkampung di Zhijindong UNESCO Global Geopark, China untuk menghadiri Simposium Jaringan Geopark Asia Pasifik Ke-5.

Simposium dianjurkan sekali setiap dua tahun ini bermula dengan Mesyuarat Majlis UNESCO Global Geopark (UGG) pada 16-17 September, diikuti Mesyuarat Jaringan Geopark Asia Pasifik (AP-GN) pada 18 September dan disusuli simposium untuk bertukar pandangan dan praktis terbaik pada 19 hingga 22 September.

Lebih 800 peserta mewakili 50 geopark global di Asia Pasifik menghadiri simposium ini. Wawasan geopark global bermula awal 2000 dan menjadi kenyataan pada 2004, apabila UNESCO membantu menubuhkan Jaringan Geopark Global (GGN) dengan ahlinya terdiri daripada 25 geopark global Eropah dan Asia.

Masih ramai bertanya erti geopark

Hari ini kita mempunyai 127 global geopark mewakili hampir semua benua di dunia. Langkawi UNESCO Global Geopark adalah warga kumpulan ini, dilahirkan pada 2007 menjadi geopark pertama di Asia Tenggara.

Masih ramai bertanya apa itu geopark? Ada membayangkan ia sebuah taman geologi untuk memulihara geowarisan. Ada juga mempunyai persepsi, geopark sebagai taman tabii, kawasan rekreasi dan produk pelancongan berasaskan warisan alam.

Apabila geopark diuar-uarkan kepada komuniti tempatan, kami jelaskan ia adalah wilayah di mana masyarakat perlu mengenali dan menghayati warisan setempat, serta mengambil manfaat bagi meningkatnya sumber pendapatan sambil memulihara keistimewaan tanah tumpah darahnya.

Geopark adalah semua yang dinyatakan di atas. Wawasan geopark pada prinsipnya ialah agenda wawasan pembangunan lestari bersifat gerakan bawah atas. Ia beri perhatian kepada permintaan komuniti dan pemimpin setempat untuk buat perubahan pembangunan di wilayahnya supaya bersifat lebih lestari.

Tumpuan diberi kepada tiga komponen pembangunan utama iaitu: a) pemuliharaan sumber warisan geologi, warisan biologi dan budaya secara terintegrasi; b) meningkatkan pengetahuan komuniti dan pelancong mengenai nilai warisan, alam sekitar, budaya dan bencana alam melalui pendidikan awam dan c) memperkasa pembabitan sosioekonomi komuniti tempatan melalui peluang baharu pelancongan lestari (geopelancongan).

Geopark berbeza dengan kebanyakan inisiatif pembangunan lestari wilayah yang dicadangkan pada peringkat global dan kebangsaan, iaitu umumnya bersifat pendekatan atas bawah.

Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dianjurkan Bangsa-Bangsa Bersatu umpamanya, hanya bersifat menetapkan 17 matlamat yang perlu dicapai negara ahli. Malaysia telah beri komitmen.

Begitupun, proses pelaksanaan atas bawah ini mempunyai banyak halangan untuk dilaksanakan termasuk sikap kepemimpinan tempatan, keupayaan teknikal, kewangan, isu ketirisan dan penerimaan komuniti setempat.

Akibatnya inisiatif murni tidak sahaja sukar mencapai matlamat, tetapi akhirnya tidak mencapai sasaran kelestarian diharapkan.

Ketika membangun geopark Langkawi pada 2006 umpamanya, penyelidik universiti turun padang bagi mengadakan ceramah dan penjelasan kepada penduduk kampung dan pekan mengenai wawasan dan matlamat geopark.

Kami teruja dan gembira apabila dimaklumi, mereka sedia menerima geopark dan menaruh harapan tinggi supaya dapat dilaksanakan. Berikutnya, kami ber-bincang dengan Pegawai Daerah dan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta agensi berkepentingan lain.

Akhirnya kami iaitu penyelidik, pelaksana dasar dan komuniti bekerjasama sebagai pasukan mantap yang berjaya membawa agenda Langkawi geopark ke peringkat kerajaan negeri dan global.

Sokongan perlu diberikan kepada komuniti setempat

Pendekatan bawah atas umumnya belum diterima di negara sedang membangun. Kuasa dan keupayaan teknikal peringkat atas (Kerajaan Pusat) masih terlalu tinggi dan andaian pentadbiran bawahan belum berupaya urus pembangunan masih meluas.

Wawasan bawah atas perlukan kepercayaan tinggi kepada kepemimpinan daerah dan negeri, serta sokongan perlu diberi kepada pembabitan komuniti setempat.

Geopark memperkenal konsep 'pengurusan bersama' bagi membawa pihak berkepentingan duduk semeja, berbincang dan buat keputusan bersama.

Beberapa negara Asia Pasifik seperti Jepun dan Indonesia lebih berjaya menggerakkan agenda geopark kerana pemimpin daerah dipilih komuniti setempat. Mereka bertanggungjawab menterjemah agenda komuniti tempatan untuk dilaksanakan. Di Jepun, umpamanya Datuk Bandar bersungguh-sungguh menjayakan agenda ini sehingga hanya dalam tempuh 10 tahun, mereka berjaya hasilkan 35 geopark kebangsaan dan 8 geopark global.

Di Malaysia, semua Pegawai Daerah dilantik kerajaan negeri, melaksanakan agenda atas bawah lebih diutamakan berbanding permintaan komuniti setempat. Indonesia juga sedang bergerak pantas berbanding dengan kita yang semakin tercicir ke belakang.

Kelestarian bawah atas jika digerakkan secara terintegrasi dan mendapat sokongan kerajaan negeri dan Pusat, mampu dijayakan dengan lebih berkesan.

Mengambil contoh usaha menjadikan sungai tercemar bersih, tidak mungkin berjaya dengan ribuan kempen 'cintai sungai kita' serta peruntukan berjuta ringgit kerajaan bagi membersih sungai.

Ia perlu bermula daripada gerakan bersama semua penghuni dan tuan punya tanah sepanjang sungai. Mereka adalah pihak berkepentingan utama. Gerakan mereka secara berstratagi dan disokong oleh dasar serta bantuan kewangan kerajaan secara jangka panjang mungkin dapat memberikan hasil lebih positif.

Wawasan kelestarian bawah atas perlukan perubahan set minda pihak berkepentingan. Pertama, kerajaan perlu galakkan proses memperkasa kepemimpinan tempatan atau daerah yang berjiwa besar dan sedia berkhidmat untuk masyarakat. Berikutnya, kerajaan Pusat dan negeri perlu berusaha berkongsi kuasa, tanggungjawab dan sumber dengan pemimpin akar umbi ini bagi menjayakan pelbagai projek.

Geopark ialah model kelestarian bawah atas yang berjaya dilaksanakan di seluruh dunia dan menunjukkan hasil cemerlang.

Penulis adalah Naib Presiden Global Geoparks Network; Naib Pengerusi UNESCO Global Geoparks dan Ketua Kluster, Sumber Asli dan Alam Sekitar, MPM

116 dibaca
Berita Harian X